Lonjakan kes Covid-19, Libya laksana sekatan lebih ketat


Kes Covid-19 di Libya meningkat minggu ini, dengan pegawai kesihatan mencatat 2,854 kes dalam tempoh 48 jam. – Gambar AFP, 12 Julai 2021.

LIBYA pada Ahad melaksanakan sekatan menyeluruh untuk membendung penularan koronavirus ketika kes dilaporkan mencecah rekod baharu, dengan pakar memberi amaran tentang situasi “kritikal”.

Bagi tempoh dua minggu akan datang, kafe ditutup, majilis kahwin dan urusan pengebumian melibatkan ramai individu dilarang, dan penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan, kata Perdana Menteri Abdulhamid Dbeibah.

Restoran hanya boleh menjual makanan melalui penghantaran, sementara orang mesti memakai pelitup muka dan mematuhi peraturan penjarakan sosial di kedai dan pasar.

Ketua Pusat Kawalan Penyakit Negara Badreddine al-Najjar memberi amaran mengenai keadaan “kritikal” ketika peningkatan jangkitan semakin melonjak.

Beberapa minggu kebelakangan ini, kes yang direkodkan setiap hari tidak melebihi 400 sehari.

Bagaimanapun, jumlahnya meningkat minggu ini, dengan pegawai kesihatan mencatat 2,854 kes dalam tempoh 48 jam, menurut angka rasmi terbaharu.

Langkah terbaharu ini dilaksanakan beberapa hari selepas sempadan dengan negara jiran Afrika Utara, Tunisia ditutup, yang menyaksikan sistem kesihatan sedang bergelut untuk menangani lonjakan pesakit Covid-19.

Libya yang mempunyai kira-kira 7 juta penduduk secara rasminya mencatatkan 204,090 kes termasuk 3,240 kematian. Lebih daripada 425,000 penduduknya sudah diberi vaksin. – AFP, 12 Julai 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen