PENINGKATAN mendadak dalam daftar pemilih menimbulkan keraguan kepada Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, berlaku peningkatan sebanyak lapan kali ganda pengundi berbanding keadaan biasa dalam suku ketiga 2016.
Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, pada suku keempat 2016 pula, peningkatan jumlah pengundi dalam daftar pemilih ialah sebanyak lima kali ganda.
“Peningkatan yang mendadak juga pada suku pertama 2017 sebanyak lima kali ganda.
“Banyak persoalan yang kita nak bincang dengan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Khalid, purata pendaftaran pengundi baru bagi setiap suku sejak 2013 pada kadar 70,000.
Beliau berkata, semua parti pembangkang kini berdepan masalah mendaftarkan pengundi sejak SPR tidak lagi membenarkan mereka berbuat demikian.
“Tetapi jumlah pengundi didaftarkan itu meningkat sebanyak lapan kali ganda, lima kali ganda. Siapa yang daftarkan mereka ini?” soalnya.
“Datang dari mana? Sedangkan masa kita bantu daftar dulu pun kita hanya dapat dalam 70,000.”
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), parti politik pembangkang berdepan banyak sekatan daripada SPR.
“Dulu kita boleh membantu mendaftarkan pengundi baru.
“Kita tahu di Malaysia ini ada 4.2 juta pengundi baru masih tidak berdaftar dan sekarang jumlahnya meningkat disebabkan prosedur SPR,” katanya.
Menurut ahli Parlimen Bayan Baru itu, selepas SPR tidak membenarkan parti politik mendaftarkan pengundi, persaingan di antara parti politik untuk mendaftarkan seramai mungkin tidak lagi berlaku.
“Ini baik untuk demokrasi, semua parti bersaing mendaftarkan seramai mungkin pengundi.
“Sekarang hanya bergantung kepada pegawai SPR untuk mendaftarkan pengundi,” katanya.
Menurut Sim, kini untuk mendapatkan borang daftar pemilih juga sukar.
“Setiap kali pergi ia hanya beri 20, sedangkan di satu pasar malam kita boleh daftarkan sekurang-kurangnya 100 orang,” katanya.
Turut bersama pada sidang media itu ialah pemimpin PKR, Chua Tian Chang, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok. – 17 Mei, 2017.
Komen