Pengaruh Zahid dalam Umno semakin lemah, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis politik berkata pemimpin Umno dalam kem Ahmad Zahid Hamidi perlahan-lahan semakin rapat dengan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai 2021.

PELANTIKAN Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri akan melemahkan pengaruh presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam parti, kata penganalisis.

Mereka berkata pemimpin parti sekarang perlahan-lahan akan condong kepada Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno, dan ini sekali gus memberi ruang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan dengan serangan Zahid.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight yang pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM, membolehkan Muhyiddin mengatur langkah strategik bagi melemahkan pengaruh individu anti-Perikatan Nasional (PN) dalam Umno.

Ini terbukti apabila kebanyakan ahli Parlimen Umno enggan mengikut jejak langkah Zahid untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Namun, mereka memberi amaran yang Zahid bukan mudah untuk ditewaskan dan beliau masih boleh memberi ancaman semula.

“Sekarang perhatian akan beralih kepada Ismail Sabri kerana sebagai TPM, beliau memiliki akses kepada hampir semua perkara. Sedikit demi sedikit pemimpin Umno akan semakin dekat dengan Ismail Sabri. Biarpun mereka masih berada dalam kem Zahid,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed.

“Walaupun keadaan sekarang lebih buruk baginya, namun ia masih bukan penamat buat Zahid. Muhyiddin sudah melemahkan pengaruh individu seperti Zahid, Najib Razak dan Ahmad Maslan dalam Umno,” katanya.

Martadha berkata tanpa pengaruh, mustahil Zahid dapat mengumpulkan kekuatan dalam Umno.

“Beliau mempunyai kuasa sebagai presiden tetapi tiada pengaruh. Oleh itu, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan. Dalam politik, mereka yang mempunyai pengaruh memiliki kelebihan.

“Jika anda mempunyai kekuatan tetapi tanpa pengaruh, tiada gunanya,” tambahnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan Muhyiddin.

Turut dinaikkan pangkat adalah Menteri Luar Hishammuddin Hussein, seorang lagi pemimpin kanan Umno tetapi tiada jawatan dalam parti sekarang, sebagai menteri kanan.

Sebelum pelantikan Ismail Sabri, tiada jawatan timbalan perdana menteri dalam kabinet Muhyiddin sejak PN mengambil alih Putrajaya pada Mac tahun lalu.

Penganalisis berkata keputusan Muhyiddin untuk melantik Ismail Sabri adalah usaha untuk memecahbelahkan parti.

Hanya beberapa jam selepas dua lantikan itu, Zahid mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, yang berlangsung selama lebih empat jam dan kemudian mengumumkan yang parti memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau berkata parti mahu perdana menteri sementara yang dilantik untuk mengawasi pengurusan wabak Covid-19 dan selepas itu pilihan raya umum perlu diadakan.

Namun pengumumannya tidak memberi kesan kerana tiada ahli Parlimen Umno, termasuk yang berada dalam Kabinet mengumumkan mereka menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Diketuai oleh Ismail Sabri, mereka berkata ingin meneruskan usaha dilakukan oleh kerajaan Muhyiddin untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. – 12 Julai 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen