RIBUAN rakyat Malaysia memohon bantuan makanan dan keperluan lain menerusi laman web yang baru dilancarkan seminggu lalu, kata seorang daripada pengasasnya.
Reza Razali yang bersama rakan-rakannya melancarkan laman web Kita Jaga Malaysia pada 5 Julai berkata, dalam tempoh seminggu lebih 7,000 orang sudah memohon bantuan dan jumlahnya semakin bertambah.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, malah lebih ramai – lebih 15,000 individu – bersedia membantu untuk menderma kepada mereka yang memerlukan, baik dalam bentuk makanan dan bahan keperluan asas atau barangan lain.
“Lebih 7,000 individu meminta bantuan terdiri yang daripada pelbagai kaum bahkan ada di antaranya bukan rakyat Malaysia.
“Malah pasukan kami terdiri daripada rakyat Malaysia dan bukan warganegara. Sebenarnya idea untuk menubuhkan laman web ini berasal dari rakyat Indonesia yang hanya ingin dikenali sebagai Achan,” katanya.
Reza juga berkata, lebih 1 juta rakyat Malaysia melayari laman web tersebut sejak ia dilancarkan.
Beliau menambah, permohonan bantuan lebih tinggi di bandar-bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.
Reza yang juga pengasas Terato Tech, sebuah syarikat yang berpusat di Bangi, Selangor berkata idea laman web KitaJaga datang daripada Achan, Edo, Hisyam dan Basyrun.
Ia kemudian dibangunkan oleh Terato Tech.
Reza berkata mereka berdepan gangguan ketika membangunkan laman web berkenaan.
Laman web itu memadankan individu yang memerlukan pertolongan dengan pihak yang sedia membantu.
Mereka yang memerlukan bantuan perlu meletakkan pin ke lokasi mereka, meninggalkan maklumat terperinci dan menyenaraikan apa yang diperlukan.
Mereka juga boleh mencari individu yang secara sukarela memberikan bantuan dan mencari bank makanan sedia ada.
Mereka yang bersedia membantu boleh sama ada menyenaraikan barang yang dapat disediakan dan di mana boleh diambil atau membantu pihak terjejas secara langsung.
Beberapa minggu kebelakangan ini, rakyat Malaysia yang terjejas terpaksa mengibarkan bendera putih menandakan mereka memerlukan bantuan makanan dan sedikit wang untuk meneruskan kehidupan.
Sebelum kewujudan laman web KitaJaga, tiga anak muda tempatan membina Aplikasi Bendera Putih (sekarang disebut Sambalsos.com) bagi mengumpulkan laporan mengenai bendera putih dan lokasi bank makanan di seluruh negara.
Aplikasi itu adalah idea sukarelawan pelajar Sidharrth Nagappan, Cornelius Pang dan Shaun Mak yang dilancarkan pada 4 Jun.
Aplikasi ini menghubungkan mereka yang bersedia membantu golongan memerlukan pertolongan semasa wabak.
Banyak perniagaan, kumpulan sukarelawan, persatuan kediaman dan individu juga menubuhkan bakul makanan bagi memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan terdesak.
Semua ahli Parlimen diperuntukkan RM300,000 setiap seorang untuk menjalankan program bantuan bakul makanan dengan barang-barang keperluan akan diedarkan ke kawasan terjejas di bawah pakej rangsangan Pemulih yang diumumkan pada 28 Jun.
Kerajaan berkata setiap bakul makanan harus mengandungi 13 jenis barang iaitu 10kg beras, dua unit minyak masak 1kg, dua unit gula 1kg, dua unit tepung gandum (850g hingga 1kg per unit), dua tin pekat susu 500g hingga 550g setiap satu, satu unit garam 400g hingga 450g, dua unit meehoon 350g hingga 400g, satu botol kicap mani 600ml hingga 700ml, satu botol sos cili 300g hingga 400g, dua tin sardin 400g hingga 425g, satu unit teh 100g hingga 150g, satu unit kopi 100g hingga 150g, dan satu unit biskut 350g hingga 450g.
Bagaimanapun ahli Parlimen pembangkang berkata 13 jenis barangan itu tidak memenuhi keperluan pemakanan dan kadar RM300,000 untuk semua kawasan tidak adil.
Mereka berkata peruntukan dana RM300,000 untuk semua kawasan tidak mencukupi bagi membantu rakyat Malaysia mengatasi masalah kewangan semasa wabak.
Mereka menambah masalah itu bertambah buruk kerana terdapat ratusan ribu penduduk di kawasan mereka. – 11 Julai, 2021.
Komen