Kes aktif Covid-19, pesakit di ICU rekod angka tertinggi


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata angka itu meningkat selepas Malaysia melaporkan 9,105 kes baru berbanding 5,194 kes pulih hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai 2021.

JUMLAH kes aktif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 87, 841 hari ini susulan negara terus melaporkan lebih banyak jangkitan baru berbanding pemulihan.

Ia merupakan angka tertinggi sejak pandemik berkenaan dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata angka itu meningkat selepas Malaysia melaporkan 9,105 kes baru berbanding 5,194 kes pulih hari ini, perbezaan hampir 4,000 kes.

Ini merupakan hari ke-16 berturut-turut jangkitan baru di Malaysia mengatasi kes pulih.

Jumlah kes aktif tertinggi yang dilaporkan adalah pada 6 Jun, di mana angka tersebut melonjak kepada 86,628 kes.

Sementara itu, Noor Hisham juga berkata sejumlah 961 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), meninkat dua lagi kes berbanding 959 pesakit sebelum ini.

Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat dari 451 kepada 455 orang hari ini.

Selain itu, jumlah kematian turut meningkat dengan 91 kematian dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan angka kematian di negara ini kepada 6,158 kes.

Mengulas lanjut mengenai kes kematian tersebut, Noor Hisham berkata, lima mangsa adalah warga asing manakala selebihnya adalah penduduk tempatan.

Sepuluh kematian membabitkan kes semasa dibawa ke hospital di mana dua daripadanya adalah warga asing. – 11 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen