BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah dipersalahkan kerana meruntuhkan bank-bank yang ditubuhkan di Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, penyatuan bank-bank yang dibuat Dr Matahir pada 2011 bukan sahaja menyebabkan matinya bank kecil dan milik keluarga.
Malah, tambahnya lagi, apa yang dilakukan Dr Mahathir itu menjadikan semua sistem perbankan dan kewangan berada di bawah cengkaman institusi-institusi yang berasal dari Semenanjung.
Justeru, kata Abang Johari, tindakan itu menyukarkan perniagaan dengan kerajaan.
“Bila kita nak pinjam duit, mereka (bank) akan tanya banyak soalan. Tapi duit kita pun ada dengan mereka (bank) juga.
“Sangat susah untuk guna duit kita sendiri,” katanya dalam majlis perasmian Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) milik kerajaan negeri.
Kenyataannya itu merujuk kepada salah satu sebab kenapa DBOS ditubuhkan.
DBOS yang telah diperbadankan pada Mei tahun lalu dengan modal berbayar RM500 juta secara rasmi memulakan operasi komersialnya hari ini.
Kenyataan beliau itu juga merujuk kepada bank seperti Hock Hua atau Bian Chiang Bank yang mana suatu ketika dahulu merupakan bank milik penduduk Sarawak.
CIMB merupakan salah satu cabang dari Biang Chang Bank. Bank itu telah diambil alih oleh Umno pada 1975 sebelum ditukar nama sebagai Bank of Commerce.
Dr Mahathir, yang merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan, telah dipersalahkan oleh pemimpin Barisan Nasional sekarang atas apa yang terjadi ketika pemerintahan beliau sepanjang 1981 sehingga 2003.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, DBOS akan membiayai semua projek strategik dalam bidang seperti infrastruktur, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharu, pengangkutan awam bandar, telekomunikasi, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pertanian moden, dan perkhidmatan lain yang berkaitan di negeri itu.
Beliau juga telah memberitahu pengurusan DBOS dan lembaga pengarah yang “kerajaan tidak akan campur tangan” tentang bagaimana menjalankan perniagaan, walaupun bank itu milik kerajaan negeri dan perlu melaporkan kepada kerajaan.
“DBOS akan berjalan secara profesional,” kata Abang Johari.
Sebab itulah tiada politikus dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, tambahnya.
Bermula esok, bank itu boleh mula mengambil deposit dari kerajaan negeri.
Buat masa ini DBOS mempunyai 16 pekerja dan beroperasi dari Menara SEDC Isthmus di Kuching, Sarawak.
Dalam kenyataannya, DBOS berkata bank itu “sudah mula mencari beberapa projek.” Bagaimanapun ia tidak menyatakan projek jenis apa, kerana ia tertakluk dengan dasar rahsia dan perjanjian tanpa pendedahan dengan pelanggannya. – 15 Januari, 2018.
Komen