MENUKAR perdana menteri sekarang tidak akan menjejaskan usaha berterusan kerajaan untuk menguruskan pandemik Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Memetik contoh kerajaan lain yang berlaku perubahan dalam kepimpinan mereka sejak tahun lalu Najib berkata, perdana menteri harus bertanggungjawab atas kegagalan pemerintahannya dalam menangani wabak tersebut.
“Tapi jika semakin gagal melawan Covid selama 7 bulan dengan kuasa penuh Darurat, apa lagi nak dikato?
“Sudah tentu seorang perlu bertanggungjawab atas kegagalan bersambung kegagalan kerajaan yang banyak mengorbankan nyawa manusia dan menyusahkan seluruh Rakyat Malaysia,” tambahnya.
Beliau menambah, kerajaan akan meneruskan dasar-dasar lama dan dasar baharu yang diperkenalkan oleh perdana menteri baharu akan meyakinkan rakyat.
“Program vaksinasi langsung juga tidak akan tergugat sebab bukan menteri-menteri yang turun ke padang untuk suntik vaksin,” katanya.
Minggu lalu Umno bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas kegagalanya menangani beberapa krisis dan mendesak pelantikan perdana menteri sementara bagi menangani krisis Covid-19.
Parti itu berkata, pilihan raya umum dapat diadakan selepas wabak itu dikawal.
Najib menjelaskan bahawa Umno hanya menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan tidak menentang pakatan pemerintahan Perikatan Nasional.
Beliau juga menolak khabar angin bahawa Umno gila kuasa.
Katanya, Umno hanya mahu perdana menteri bertanggungjawab dengan meletak jawatan selepas gagal mengekang Covid-19 dan membaiki ekonomi walaupun kerajaan sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.
“Sebab menteri Umno tutup pintu depan tapi ada orang lain berkali-kali buka pintu belakang.
“Sebab kita tengok kerajaan hari ini tidak stabil dengan majoriti tipis atau tiada majoriti.
“Sehingga tugas memelihara, melindungi katak-katak serta pengkhianat dengan menjayakan “scheme of things” menjadi keutamaan kerajaan,” katanya sambil menambah keadaan itu turut menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah terpaksa bersuara.
Beliau berkata, Umno hanya mahu PM dan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi tumpuan menyelesaikan masalah Covid-19 secepat mungkin tanpa memikir bagaimana mahu mengekalkan kuasa atau “katak” yang mana lagi boleh dibeli.
Najib berkata selepas tempoh pendek antara tiga hingga enam bulan dan setelah negara mencapai imuniti kelompok serta Covid-19 selesai, Parlimen akan dibubar dan mandate diserahkan kepada rakyat semula bagi menyelesaikan masalah kerajaan tidak stabil yang penuh dengan katak-katak dan penderhaka selari dengan kehendak Muafakat Nasional pada Februari 2021 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
“Umno mahu serahkan kembali kuasa. Umno tak mahu beli katak, tak ada “scheme of things” atau buat darurat dengan alasan demi alasan bodoh untuk kekalkan kuasa.
“Jadi, tang mana yang Umno gila kuasa? Tiada jaminan Umno atau BN akan menang,” katanya.
Najib juga menambah bahawa PN dan PH tidak perlu takut dengan mandat rakyat.
“Lagipun, PN dan PH bukan sering tuduh UMNO dan BN penuh rasuah, rasis dan tak kompeten?
“Jadi, bagaimana pula Umno dan BN ada peluang untuk menang?,” katanya.
Namun katanya, tidak kira sama ada mereka menang atau tidak, masalah utama sekarang adalah kerajaan dengan majoriti tipis bukan pilihan rakyat. – 11 Jun, 2021.
Komen