AUSTRALIA mengumumkan kematian pertama Covid-19 di Sydney hari ini ketika bandar terbesar di negara itu berusaha menangani jangkitan dari varian Delta.
Wanita berusia 90-a itu meninggal dunia semalam, beberapa jam selepas dikesan positif Covid-19 dan juga merupakan kematian pertama akibat jangkitan tempatan di Australia tahun ini.
Kematian dilaporkan ketika pihak berkuasa mengumumkan 77 kes baharu dan memberi amaran jumlah dijangka meningkat melepasi angka 100 pada Isnin.
“Esok dan beberapa hari selepas itu akan menjadi lebih buruk, jauh lebih buruk dari yang kita lihat hari ini,” kata Perdana Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian.
Sydney kini berada dalam minggu ketiga perintah berkurung, tetapi jumlah kes baharu terus meningkat dalam kalangan penduduk yang tidak mahu menerima vaksin.
Perintah berkurung diperketat pada Jumaat lepas dan Berejiklian memberi amaran bahawa peraturan duduk di rumah dijangka terus dikuatkuasakan kecuali jika ada perubahan drastik.
Sydney mencatatkan 566 jangkitan baharu sejak awal wabak bermula pada pertengahan Jun.
Pihak berkuasa segera mengenakan sekatan ketat dalam usaha mengekang kluster awal dan sempadan negara ditutup dengan hanya kira-kira 10% penduduk Australia yang diberi vaksin sepenuhnya.
Kerajaan melancarkan kempen baharu hari ini yang mendorong penduduk mendapatkan suntikan vaksin bagi melawan Covid-19 walaupun vaksin masih belum ditawarkan kepada kebanyakan penduduk berusia di bawah 40 tahun.
Ketua Pegawai Perubatan Paul Kelly berkata, iklan “grafik” lain akan disiarkan Sydney mendesak orang ramai mematuhi peraturan duduk di rumah.
Australia mencatatkan lebih 31,000 kes kematian Covid-19 dan 911 dalam populasi sekitar 25 juta setakat hari ini. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen