MALAYSIA sekali lagi merekodkan lebih 9,000 kes baharu jangkitan Covid-19, untuk hari ketiga berturut-turut, ketika saringan bersasar terus giat dijalankan di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) terutamanya di Lembah Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 9,105 lagi kes dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu setakat tengah hari ini.
Daripada jumlah itu, 4,862 kes dikesan di Selangor manakala 1,247 direkodkan di Kuala Lumpur. Jumlah itu bersamaan 67% daripada keseluruhan kes hari ini.
Selangor dan Kuala Lumpur juga mencatatkan kes masing-masing lebih 4,000 dan lebih 1,000 untuk hari ketiga berturut-turut.
Selain Negeri Sembilan yang merekodkan 541 kes, tiga negeri mengesan kes kurang daripada 400 iaitu Johor (392), Kedah (382) dan Pahang (300).
Lima negeri mengesan kes tidak lebih 300 iaitu Melaka (278), Sabah (271), Sarawak (270), Pulau Pinang (243) dan Perak (207).
Kelantan mempunyai 150 kes sementara Terengganu (38) dan Perlis (1) serta Labuan (54) dan Putrajaya (49) konsisten merekodkan kes kurang daripada 100.
Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan merekodkan 9,180 kes baharu, yang merupakan rekod baharu sejak pandemik Covid-19 dikesan di Malaysia pada hujung Januari 2020.
Rekod baharu itu bertahan 24 jam apabila 9,353 kes lagi diumum, semalam.
Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerajaan sudah menjangka kes tinggi Covid-19 selepas saringan secara besar-besaran dan bersasar dilakukan di kawasan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.
PKPD pada masa ini dilaksanakan di 36 mukim di Selangor dan 16 lokaliti di Kuala Lumpur.
“Apabila kerajaan buat PKPD maka kita akan melakukan saringan ujian Covid-19 secara besar-besaran dan sudah tentu sahaja ada peningkatan kes Covid-19,” katanya.
Dr Noor Hisham semalam berkata pihaknya menjangkakan jumlah kes harian Covid-19 akan mulai stabil dan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi. – 11 Julai, 2021.

Komen