Kerajaan perlu akui jika hadapi masalah urus Covid-19, kata Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau "teruja" dengan propaganda terbaru kerajaan bahawa keadaan Covid-19 negara tidak teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengakui mereka berdepan masalah dalam menguruskan wabak Covid-19 dan harus berhenti berkhayal, kata Najib Razak.

Dalam catatan menerusi Facebook, bekas perdana menteri itu berkata agak sukar bagi negara terutama petugas barisan hadapan sekiranya kerajaan masih berada dalam khayalan.

“Untuk menyelesaikan masalah, pertamanya anda harus mengakui anda mempunyai masalah,” kata Najib.

Dalam nada sarkastik, Najib berkata beliau “teruja” dengan propaganda terbaru pihak kerajaan bahawa keadaan Covid-19 negara tidak teruk.

“Jika begitu, kenapa pula kadar kematian baharu Covid per kapita bagi Malaysia adalah lebih tinggi berbanding semua negara jiran kita dan antara yang tertinggi dalam dunia mengalahkan India?

“Buat lebih banyak saringan akan menyebabkan lebih banyak orang meninggal dunia ke?,” katanya. 

Beliau berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengisytiharkan darurat bagi menggantung Parlimen dengan alasan mahu fokus melawan Covid-19.

Tetapi sebenarnya pengisytiharan darurat memperburukkan lagi krisis kesihatan, katanya.

“Tetapi keadaan Covid dan ekonomi negara boleh pulak menjadi berkali ganda jauh lebih teruk selepas menerima kuasa penuh Darurat selama 7 bulan,” katanya.

Lebih 6,000 jangkitan baharu dan sebanyak 87 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam.

Angka kematian keseluruhan kini berjumlah 6,067 orang. – 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen