PEGAWAI penguatkuasa undang-undang yang dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan orang harus memberi kerjasama penuh apabila prosiding diteruskan esok, kata ketua panel siasatan Mah Weng Kwai.
Pesuruhjaya Suhakam berkata, satu masalah dalam pendengaran terakhir ini adalah mengenai kelewatan mendapatkan bukti dari pegawai polis yang dipanggil bagi memberi keterangan mengenai penculikan Pastor Raymond Koh.
“Polis cakap (ketika siasatan tahun lepas) yang kertas siasatan (IP) adalah rahsia, dan penyiasatan masih berlangsung serta mereka masih belum selesaikan.
“Jika saksi menegaskan yang semuanya adalah rahsia, ia akan menghalang siasatan. Kami harap boleh dapat kerjasama daripada polis dan saksi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mah berkata adalah sangat penting siasatan itu memperoleh semua maklumat yang diperlukan bagi mencapai keputusan menjelang akhir pendengaran yang mana dijangka selesai pada Mac depan.
Siasatan sedang meneliti kehilangan Koh, aktivis sosial Amri Che Mat dan Pastor Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth.
Pendengaran kes Koh bermula pada 19 Oktober lalu. Pendengaran akan disambung esok, 29 dan 30 Januari. Manakala kes Amri akan diperdengarkan pada 22, 24, dan Januari.
Tujuan siasatan itu adalah untuk menentukan sama ada kes-kes kehilangan itu berkait dengan kerajaan.
Pada 13 Februari tahun lalu, Koh telah diculik di siang hari di Petaling Jaya ketika berada dalam kereta. Beliau dibawa lari oleh sekumpulan kenderaan SUV berwarna hitam.
Sehingga kini tiada sebarang tuntutan tebusan mahupun petunjuk kehilangan beliau, kecuali tuduhan yang pastor itu kononnya aktif memurtadkan orang Islam, yang mana perbuatan itu merupakan satu kesalahan jenayah di Malaysia.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak panel telah diberitahu oleh saksi yang penculikan Koh nampak seperti operasi polis tetapi seorang pegawai kanan polis dalam keterangannya kepada panel siasatan awam Suhakam terhadap kehilangan pastor itu berkata, ia tidak ada kaitan dengan pasukan polis.
Panel itu juga sedang cuba mendapatkan diari siasatan penculikan Koh selain kertas dan barang siasatan lain yang mana barangan itu termaktub dalam Akta Suhakam.
Mah berkata, bukti berkenaan perlu diserahkan kepada panel menurut Seksyen 14 Akta Suhakam.
Dua anggota polis yang hadir pada siasatan itu sebagai pemerhati kemudiannya berkata diari berkenaan adalah sulit kerana siasatan masih berjalan dan tidak bokeh diserahkan kepada panel. Mereka memohon penangguhan pendengaran itu untuk merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Ia menyebabkan Mah membalas dengan tegas sekiranya panel tidak dibenarkan melihat bukti setiap kali diminta atas dasar siasatan masih berjalan, “lebih baik kita simpan semua dan balik”.
Mah mengetuai panel yang terdiri daripada Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha, yang juga pesuruhjaya Suhakam.
Nik Salida berkata siasatan itu memberitahu pemerhati polis untuk mendapatkan nasihat Peguam Negara berhubung kertas siasatan sebagai bukti.
“Tapi mereka tak buat begitu dan alasan (yang diberikan) adalah kerana mereka sibuk.
“Siasatan ini bukan semata-mata untuk mangsa dan ahli keluarga tetapi juga berkait dengan kepentingan awam,” katanya.
Siasatan kes Koh melibatkan 15 saksi termasuk ahli keluarga beliau, anggota polis, saksi yang melihat kejadian penculikan serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). – 15 Januari, 2018.
Komen