Bersatu Johor belum putus kedudukan, kata bekas menteri besar


Mohd Farhan Darwis

Bersatu Johor juga mengikut arahan dan titah Sultan Johor dalam membuat keputusan susulan perkembangan penarikan sokongan Umno terhadap Muhyiddin, kata Adun Kempas Osman Sapian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

BERSATU Johor belum membuat apa-apa keputusan dan pendirian susulan perkembangan terkini Umno menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti.

Bersatu Johor sedang menunggu arahan lanjut daripada pucuk pimpinan parti berhubung langkah seterusnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas Osman Sapian.

“Kita masih tunggu arahan pusat daripada presiden dan juga perdana menteri. Kalau ada perubahan kami akan dimaklumkan tapi setakat ini pucuk pimpinan belum ada apa-apa arahan.

“Bersatu Johor belum ada mesyuarat nak bincangkan perkara ini,” kata bekas menteri besar itu kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, beliau juga berkata Bersatu Johor juga akan akur dengan arahan dan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

“Walaupun kita tunggu DUN bersidang, kita juga tunggu arahan pucuk pimpinan parti. 

“Mereka tengah fikir masalah pusat, belum terfikir lagi masalah negeri,” katanya.

Osman mengingatkan perkembangan politik di Putrajaya akan memberi kesan kepada beberapa negeri, sama seperti yang berlaku selepas percaturan politik pada Februari 2020. 

“Kalau bertukar (kerajaan), tiga empat negeri juga akan berubah kerajaan. Jadi, kita ambil pendekatan tunggu dan lihat. 

“Apa-apa pun kita akur kepada pucuk pimpinan dan di Johor ini kita juga akur dengan titah Tuanku Sultan,” kata Osman lagi.

DUN Johor ditetapkan akan bersidang pada 12 Ogos depan.

“Dewan akan bersidang, jadi kita tengok keadaan macam mana, sama ada kekal atau tukar kerajaan terpulang kepada kerajaan dan sultan,” kata Osman.

Muhyiddin juga adalah pengerusi Bersatu Johor menggantikan Mazlan Bujang, sejak September 2020.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor diterajui Umno dengan Menteri Besar Hasni Mohammad ketika ini mempunyai sokongan 29 ahli DUN, berbanding 27 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Sekiranya terdapat Adun menarik diri dari menyokong pentadbiran Hasni akan berlaku keadaan sama ada DUN tergantung atau perlu dibubarkan.

Sultan Ibrahim bagaimanapun sebelum ini memberi amaran agar suhu politik di negeri itu diredakan.

Johor bertukar menteri besar dua kali sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14. 

Semasa pentadbiran PH, Osman meletakkan jawatan pada April 2019 dan diganti oleh Adun Bukit Kepong Dr Shahruddin Jamal.

Selepas PN mengambil alih, Umno mengangkat Hasni yang juga Adun Benut sebagai menteri besar.

Sementara itu, Setiausaha Umno Johor Samsol Bari Jamali berkata kepimpinan negeri juga belum menerima sebarang arahan lanjut susulan keputusan Umno di Putrajaya.

Oleh itu, pentadbiran kerajaan negeri kini katanya fokus kepada pentadbiran untuk rakyat.

“Secara politiknya kita belum dimaklumkan apa-apa, tidak ada apa-apa makluman, setakat ini macam itulah, yang pastinya kita nak selesaikan tanggungjawab kita kepada rakyat.

“Kerajaan Johor komited melaksanakan misinya pertama adalah untuk menjaga kebajikan rakyat, dan keduanya kawalan pandemik dari segi advokasi, sediakan vaksinasi dan PPV (Pusat Pemberian Vaksin),” kata Adun Semerah itu kepada The Malaysian Insight.

Awal pagi Khamis, Ahmad Zahid mengumumkan Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menggesa beliau berundur daripada jawatan perdana menteri.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen