Wanita 90 tahun dijangkiti 2 varian Covid-19 serentak


Seorang warga emas di Belgium dijangkiti dua strain Alpha, yang berasal dari Britain, dan varian Beta yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan. – Gambar AFP, 11 Julai, 2021.

SEORANG wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia selepas jatuh sakit disebabkan Covid-19 dijangkiti dua varian Alpha dan Beta serentak, kata para penyelidik di Belgium pada Ahad, sambil menambah fenomena yang jarang berlaku itu mungkin diambil mudah.

Wanita yang tidak divaksinasi, tinggal bersendirian dan mendapat jagaan rawatan di rumah, dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst di Belgium selepas beberapa kali sakit pada Mac dan diuji positif Covid-19 pada hari yang sama.

Walaupun tahap oksigen beliau pada awalnya baik, keadaan merosot dengan cepat dan meninggal lima hari kemudian.

Ketika kakitangan perubatan menguji kemungkinan adanya varian membimbangkan, mereka mendapati mangsa mempunyai kedua-dua strain Alpha, yang berasal dari Britain, dan varian Beta yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

“Kedua-dua varian ini berlegar di Belgium pada waktu itu, jadi kemungkinan wanita tersebut dijangkiti virus berbeza daripada dua individu berlainan,” kata ahli biologi molekul Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai penyelidikan.

“Malangnya, kami tidak tahu bagaimana beliau dijangkiti.”

Vankeerberghen berkata sukar mengatakan sama ada jangkitan serentak memainkan peranan kemerosotan kesihatan pesakit yang cepat.

Penyelidikan yang belum diserahkan kepada jurnal perubatan untuk diterbitkan, sedang dibentangkan di Kongres Klinikal Mikrobiologi Klinikal & Penyakit Berjangkit Eropah.

Sementara Vankeerberghen berkata dalam siaran akhbar tiada kes serupa lain diterbitkan, ia mungkin fenomena yang diambil mudah.

Ini kerana ujian terhad untuk varian membimbangkan, menggesa peningkatan penggunaan ujian PCR segera untuk mengesan mutasi varian yang sudah dikenal pasti.

Pada Januari, saintis di Brazil melaporkan dua individu secara serentak dijangkiti dua jenis koronavirus berlainan, tetapi kajian itu belum diterbitkan dalam jurnal ilmiah.

Dalam komen yang memberi respons terhadap penyelidikan itu, Lawrence Young, seorang ahli virologi dan profesor onkologi Molekul di University of Warwick, berkata tidak mengejutkan apabila menemukan individu dijangkiti lebih daripada satu strain.

“Kajian ini menekankan perlunya lebih banyak kajian untuk menentukan sama ada jangkitan dengan pelbagai varian membimbangkan mempengaruhi perjalanan klinikal Covid-19 dan apakah ini menjejaskan keberkesanan vaksinasi,” tambahnya. – AFP, 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen