Jumlah korban Covid-19 kini lebih 6,000, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Seramai 6,067 orang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu, menurut KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

Jumlah korban akibat Covid-19 kini mencecah lebih 6,000 orang selepas 87 kes dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Seramai 6,067 orang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu, tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 2,796 kes kematian direkodkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan 1 Jun lalu. Bagaimanapun, jumlah itu bertambah sebanyak 3,271 orang sejak 40 hari perintah itu dilaksanakan.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 87 kematian yang dilaporkan hari ini, 50 direkodkan di Selangor; dikuti Johor (8); Pahang (6); masing-masing lima kes di Kulala Lumpur, Kedah dan Negeri Sembilan; Melaka (4), Pulau Pinang (2), serta Kelantan dan Labuan masing-masing satu kes.

Beliau juga berkata sebanyak 9,353 kes baharu dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan kes aktif meningkat kepada 84,021, mengatasi 5,910 kes pulih yang direkodkan sepanjang 24 jam yang lalu. Jumlah pesakit yang sembuh setakat ini 737,103 orang, katanya.

Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kekal seramai 959 orang, dengan 451 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan. – 10 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen