GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) hari ini menyatakan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan bahawa sokongan di antara empat parti gabungan itu adalah sebulat suara.
Dalam satu kenyataan ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden gabungan pemerintah di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Petrajaya, hari ini, Abang Johari berkata sekarang bukan masa untuk berpolitik yang akan merosakkan kestabilan negara.
“Inilah masanya untuk rakyat Malaysia bersatu, bersatu dan membawa negara ini keluar dari krisis pandemik,” katanya dalam reaksi terhadap Umno yang mengheret kancah politik negara ke dalam kucar kacir apabila Majlis Kerja Tertinggi parti itu mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Selain PBB, tiga parti lain dalam gabungan empat parti itu adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Hanya Presiden PDP Tiong King Sing yang tidak hadir pada mesyuarat berkenaan yang dihadiri James Masing dari PRS dan Dr Sim Kui Hian dari SUPP.
Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden PBB Dr Stephen Rundi pada Khamis menyatakan gabungan itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin untuk kestabilan negara. – 10 Julai, 2021.
Komen