HTAR tutup khidmat rawatan pesakit luar


Ravin Palanisamy

HTAR berkata susulan penutupan itu beberapa pegawai perubatan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula semua janji temu pesakit di klinik pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menutup semua perkhidmatan rawatan pesakit luar sebagai persediaan bagi mengurus pesakit Covid-19.

Penutupan bermula semalam, kata pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, antara perkhidmatan yang terjejas adalah khidmat rawatan Klinik Pakar Pesakit Luar di Kompleks Rawatan Harian (ACC), serta khidmat Fisioterapi dan Pemulihan Cara Kerja di Bangunan Utama hospital itu.

Dr Zulkarnain juga berkata susulan penutupan itu beberapa pegawai perubatan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula semua janji temu pesakit di klinik pakar, termasuk pemberian preskripsi baru bagi pesakit yang kehabisan ubat.

Oleh itu, pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan supaya tidak hadir selepas 9 Julai sehingga diberitahu kelak, katanya.

Pemberitahuan mengenai tarikh serta masa baharu janji temu klinik pakar dan pengambilan ubat di farmasi akan dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS), tambahnya.

“Pesakit dinasihatkan supaya peka dengan notifikasi yang diberikan melalui SMS agar pesakit tidak terlepas tarikh janji temu dan terputus bekalan ubat sepanjang penutupan perkhidmatan ini.”

Rabu lalu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Putrajaya segera menyalur peruntukan RM20 juta untuk menambah infrastruktur kesihatan di HTAR, terutamanya di jabatan kecemasan yang terpaksa menggunakan katil tambahan bagi pesakit Covid-19.

Santiago mendesak Putrajaya bertindak segera, menambah akan menulis kepada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya menambah peruntukan untuk HTAR. – 10 Julai, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen