Tiada arahan selaras perangi Covid-19, kata pegawai kanan tentera


Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 terus meningkat selepas sebulan perintah kawalan pergerakan penuh dikuatkuasakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

SEORANG pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia mengenal pasti kelemahan tindakan memerangi Covid-19 berpunca daripada tindakan serta arahan yang tidak bersepadu dan selaras.

Dr Mohd Arshil Moideen yang mengetuai pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan pasukan itu berkata ia menjadi punca negara masih tidak dapat keluar daripada gelombang ketiga Covid-19.

Beliau memberitahu Astro Awani, tiada penyelarasan bersepadu dapat dilihat, dari peringkat tertinggi sehinggalah kepada tindakan paling bawah.

“Apa yang saya nampak ialah ketiadaan tindakan bersepadu dan penyelarasn dari atas hingga bawah.

“Saya memberi komen daripada sudut pandang profesional di mana ada banyak perkara yang telah diputuskan di Pusat tetapi implementasinya di peringkat setiap negeri lain.

“Begitu juga satu negeri implementasinya di setiap daerah lain, ini yang dapat kita lihat apabila ketiadaan tindakan bersepadu dan penyelarasan,” katanya ketika muncul dalam siaran saluran itu.

Sedangkan, arahan dengan strategi yang selaras itu diperlukan dalam peperangan seperti ini, yang boleh diikuti semua pihak, kata Dr Mohd Arshil.

Beliau juga mengenalpasti kelemahan dalam tindakan mengawal, diagnosis dan pengasingan kes yang menyebabkan penularan sukar dikekang.

Tambahnya, beliau mengakui perkara itu sukar dilaksana kerana ketiadaan sumber atau kekangan tertentu.

Kenyataan itu muncul sewaktu kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kini berdepan kemarahan meluas dari kalangan rakyat atas kelemahan tindakan menangani Covid-19.

Jumlah kes didapati terus meningkat selepas sebulan beliau menguatkuasa semula perintah kawalan pergerakan penuh, dengan angka korban semakin meningkat.

Sebanyak 9,353 kes baharu Covid-19 diumumkan setakat tengahari tadi, dan jumlah korban pula hampir 6,000 orang setakat semalam. – 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen