Dalam 24 jam, Malaysia lapor 9,353 lagi kes baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Selangor lapor kes harian tertinggi selama 79 hari berturut-turut, dengan 4,277 kes hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

MALAYSIA melaporkan 9,353 kes baharu Covid-19 setakat tengahari tadi, mengatasi rekod kes tertinggi semalam sebanyak 9,180 kes dalam tempoh hanya 24 jam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini adalah hari kedua berturut-turut kes harian melebihi 9,000 dilaporkan Malaysia. 

Pihak berkuasa juga memperhebat saringan di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyebabkan lonjakan mendadak kes baharu di kedua-dua negeri itu.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, Selangor terus mencatatkan kes harian tertingi dengan 4,277 kes.

Negeri itu merekodkan kes harian tertinggi selama 79 hari berturut-turut.

Kuala Lumpur pula melaporkan 1,398 kes dan Melaka melaporkan peningkatan mendadak dengan 835 kes hari ini.

Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sejak negara dilanda pandemik awal tahun lalu kini mencecah 827,191 kes.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan 34% atau 281,670 kes. Manakala Kuala Lumpur setakat ini mencatat 87,711 kes, diikuti Johor 74,436.

Sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun, Kementerian Kesihatan telah melaporkan sebanyak 254,834 kes, iaitu 31% daripada jumlah keseluruhan jangkitan setakat hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Malaysia berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok apabila vaksinasi harian melepasi 300,000 dos untuk lima hari berturut-turut apabila 337,478 lagi dos disuntik semalam.

Sejumlah 10.75 juta dos sudah diberi setakat ini di bawah Program Imunisasi Covid-19, dengan 7.43 juta atau 22.8% penduduk menerima dos pertama manakala 3.31 juta atau 10.2% penduduk lengkap menerima dua dos vaksin. – 10 Julai, 2021.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen