Acara bola sepak Olimpik di Hokkaido secara tertutup


Perlawanan bola sepak Olimpik di Sapporo, Hokkaido di Jepun akan diadakan tanpa penonton. – Gambar EPA, 10 Julai, 2021.

PERLAWANAN bola sepak Olimpik di Hokkaido di utara Jepun akan diadakan tanpa penonton, umum gabenor wilayah itu, sebagai langkah untuk membendung pandemik Covid-19.

Keputusan itu diumumkan Gabenor Hokkaido Naomichi Suzuki lewat malam semalam.

Pengumuman itu berbeza dengan keputusan penganjur Olimpik sebelum itu, yang membenarkan beberapa acara disaksikan oleh penonton di luar Tokyo.

“Semua acara yang akan diadakan di Sapporo akan dijalankan secara tertutup,” kata Suzuki dalam kenyataan.

Beberapa pertandingan akan berlangsung di luar Tokyo termasuk Sappora, yang menjadi tuan rumah bagi acara maraton dan jalan kaki.

Suzuki berkata keputusan saat akhir itu dibuat selepas menilai langkah pencegahan yang dicadangkan penganjur tidak cukup ketat. Katanya, peraturan yang diusulkan tidak akan menghalang kebanjiran penonton dari Tokyo, sekali gus berisiko mencetus penularan Covid-19.

Penganjur sukan Olimpik sebelum ini menggesa supaya bilangan penonton di Sapporo Dome dinaikkan sehingga 50%, atau kurang daripada 10,000 orang.

“Keputusan dibuat bagi meredakan kebimbangan dan menjamin keselamatan penduduk tempatan, yang menjadi keutamaan kami,” kata Suzuki. – AFP, 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen