TINDAKAN pentadbiran Najib Razak meletakkan pasukan pengurusan baru untuk membangunkan Bandar Malaysia, secara tidak langsung mengakui pasukan sebelumnya yang menyelia urus niaga IWH-CREC gagal mencapai objektif ditetapkan.
Pemenang terbesar dalam rombakan ini adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.
Beliau dilantik menjadi pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, ganjaran bagi peranan pentingnya menyerlahkan ketidakupayaan konsortium IWH-CREC untuk memenuhi obligasi kewangan yang dijual dengan harga RM7.41 bilion saham yang ditandatangani dengan kerajaan pada 2015.
Perdana menteri berkata Irwan akan mengetuai pasukan keseluruhan pembangunan TRX City dan Bandar Malaysia serta pengewangan aset hartanah skandal firma milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Air Itam dan Pulau Indah.
Secara jelas, tiada peranan untuk Arul Kanda, presiden 1MDB, dalam usaha membangunkan TRX City atau Bandar Malaysia.
Beliau terus menerajui 1MDB untuk menguruskan pembayaran balik hutang sahaja, ia jelas menunjukkan Irwan dan pasukannya mempunyai kata putus mengenai pelupusan atau pembangunan tanah yang dipegang entiti milik kerajaan dilanda kontroversi itu.
Dalam satu kenyataan, Najib juga mengesahkan semua tugas Jawatankuasa Budiman – ditubuhkan pada 2016 untuk mengawasi rasionalisasi hutang 1MDB – sudah berakhir.Ia juga berkata dalam masa yang singkat, permintaan bagi proses cadangan untuk membangunkan Bandar Malaysia akan diumumkan.
“Bertentangan beberapa laporan yang salah, penamatan perjanjian sebelumnya adalah muktamad dan ia tidak akan dikembalikan semula,” kata kenyataan itu, merujuk kepada laporan akhbar arus perdana urus niaga IWH-CREC masih wujud.
The Malaysian Insight difahamkan pemaju utama untuk membangunkan Bandar Malaysia adalah kumpulan Dalian Wanda dan sebuah konsortium syarikat milik China.
Terdapat kemungkinan Wanda dan konsortium itu mungkin dilantik membangunkan Bandar Malaysia, memandangkan ia mempunyai sumber kewangan diperlukan bagi membina pusat pelancongan dan pengangkutan hab terbesar.
“Memandangkan kepentingan projek ini, ia adalah penting bagi Bandar Malaysia mempunyai kepimpinan, rakan kongsi dan struktur pemilikan yang betul untuk memastikan potensi sepenuhnya direalisasikan,” kata Najib yang menambah Kementerian Kewangan akan mengekalkan 100% pemilikan Bandar Malaysia.
Urus niaga IWH-CREC untuk membangunkan Bandar Malaysia dibatalkan kerajaan awal bulan ini kerana konsortium itu gagal memenuhi obligasi kewangan walaupun diberi lebih 10 penangguhan.
Keputusan mengejutkan itu mencetuskan tindakan terdesak konsortium yang cuba melobi di Kuala Lumpur dan Beijing, dan menimbulkan pelbagai persoalan, iaitu mengapa pihak berkepentingan mengambil masa beitu lama membatalkan urus niaga itu?
Bagaimanapun, Putrajaya mendiamkan diri mengenainya. Ia juga sudah memulangkan deposit dan bayaran interim dilakukan konsortium IWH-CREC itu. – 17 Mei, 2017.
Komen