CARA Putrajaya mengendalikan pandemik sangat teruk menyebabkan rakyat Malaysia patut fokus kepada mendapatkan pemimpin lebih baik sebaik saja Covid-19 berjaya dikawal, kata peguam yang juga aktivis Ambiga Sreenevasan.
Ambiga yang juga pengerusi bersama Bersih 2.0 berkata pemimpin negara ini terlalu sibuk berpolitik, sedangkan fokus sepatutnya diberikan kepada pengurusan pandemik.
“Apa yang kami mahukan ialah pemimpin ketika masa senang, dan pemimpin yang lebih baik kita berdepan krisis. Malangnya, kita tiada pemimpin seumpama itu dalam kedua-dua masa,” katanya pada forum secara maya sempena ulang tahun ke-19 Bersih 2.0 pada 9 Julai.
Bersih mula ditubuhkan pada November 2006 dan terdiri daripada arti pembangkang dan organisasi bukan kerajaan yang mendesak pilihan raya adil dan bebas.
Pada himpunan Bersih 2.0 pada 2011, lebih 50,000 rakyat Malaysia berarak bagi tujuan itu. Pihak berkuasa terpaksa menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Selain Ambiga pada forum malam tadi ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abduallah, bekas ahli jawatankuasa pemandu Bersih Zaid Kamaruddin, pakar politik Wong Chin Hurt dan Pengerusi Bersih Thomas Fann. Forum berlangsung secara Zoom dan disiarkan di Facebook.
Ambiga berkata walaupun Bersih masih memainkan peranan penting dalam proses demokrasi, harapan negara kini terletak di tangan golongan belia.
“Harapan saya kepada beliau kita. Pemimpin yang teruk akan membuat anda mahu berputus asa, tetapi kita tidak sepatutnya begitu.
“Orang jahat tidak akan berhenti, kita ada peranan yang perlu dimainkan, Bersih akan selalu ada peranan.
“Mungkin selepas pandemik, kita boleh bersama dan lihat bagaimana caranya untuk mendapatkan pemimpin lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Maria berkata kerajaan perlu menyediakan sistem yang berkesan kerana rakyat semakin susah.
“Kita perlu ada polisi yang berkesan dan pemimpin perlu fokus dan bekerjasama. Sekurang-kurangnya hidup kita aka nada sedikit kewarasan dan normal.
“Setiap hari mereka (rakyat) ketuk pintu saya minta makanan. Kita tidak mengendalikan pandemik ini dengan sempurna dan membebankan ramai orang,” katanya.
Rakyat Malaysia, terutama golongan B40 terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan Putrajaya bagi mengekang penularan koronavirus.
Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, terpaksa mendapatkan bantuan makanan daripada wakil rakat, sementara ramai yang lain beralih meminta bantuan menerusi gerakan bendera putih.
Gerakan bendera putih baru saja bermula dan menggesa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan makanan dan kewangan, menaikkan bendera putih di luar mereka bagi membolehkan orang lain menghulurkan bantuan. – 10 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen