Pemimpin Pakatan gesa Muhyiddin letak jawatan 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digesa untuk meletak jawatan dan bertanggungjawab di atas kegagalan dalam mengawal keadaan Covid-19 yang semakin teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021. 

PAKATAN Harapan hari ini mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk bertanggungjawab di atas kegagalan dalam mengawal keadaan Covid-19 yang semakin buruk dan segera meletak jawatan bagi menyelamatkan nyawa serta memulihkan ekonomi.

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata mereka tidak boleh berdiam diri lagi kerana jumlah Covid-19 terus meningkat dan rakyat terus menderita.

Majlis itu berkata, jumlah Covid-19 mengecewakan. Negara mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 9,120 kes hari ini dengan jumlah keseluruhan kes hampir 820,000 kes. Terdapat juga 77 kematian menjadikan jumlah kes kematian hampir 6,000 kes.

“Walaupun kerajaan telah mengusahakan pelbagai langkah termasuk darurat bermula 11 Januari 2021, PKP 3.0 bermula 1 Jun 2021 dan pelbagai PKPD, namun ia gagal mengurangkan jumlah kes positif dan jumlah kematian akibat Covid-19.

“Malah tatacara operasi standard (SOP) yang mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster COVID-19 telah menyebabkan rantaian jangkitan gagal diputuskan.

“Rakyat terus merana. Begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan. Bantuan kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi. Terlalu ramai yang telah putus asa, malah begitu ramai yang telah membunuh diri,” 

Majlis itu berkata jika keadaan ini dibiarkan berlanjutan maka Malaysia sudah pasti akan menjadi negara yang gagal seperti dilaporkan oleh agensi berita asing Bloomberg awal hari ini.

“Ini tidak boleh dibenarkan berlaku,” kata pemimpin Pakatan itu dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Perdana menteri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan-kegagalan ini dan meletakkan jawatan serta-merta.

“Rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepimpinan kerajaan dan perdana menteri yang gagal, apatah lagi selepas perdana menteri kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut,” kata mereka merujuk kepada keputusan Umno menarik sokongan terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Tambah mereka, kehidupan rakyat dan ekonomi perlu diselamatkan. – 9 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen