MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai menteri penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN), umum Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Dalam satu kenyataan, PMO berkata menteri kewangan akan mengawasi pelaksanaan strategi dan inisiatif bantuan di PPN sambil mengambil langkah intervensi proaktif yang sesuai untuk menangani wabak Covid-19 yang dinamik di negara ini.
PMO berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertamaJawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) hari ini, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Menurut kenyataan, mesyuarat hari ini memutuskan untuk mengeratkan kerjasama di antara pakar bidang kesihatan, ekonomi dan sosial bagi mendapatkan maklum balas mengenai langkah diambil kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Ia juga berkata penyertaan para profesional ini, terutama bidang kesihatan dan ekonomi, akan memastikan kerajaan berada di landasan yang tepat dalam menangani wabak tersebut.
PMO berkata kerajaan memahami kesukaran dihadapi oleh rakyat semasa wabak dan akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat PPN.
“Bagi memastikan rancangan pemulihan dijalankan dengan lancar, Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk mengkoordinasikan inisiatif berkaitan PPN,” katanya.
JKKPPN akan memantau pelaksanaan pelbagai strategi dalam PPN untuk membebaskan negara daripada krisis pandemik Covid-19. – 9 Julai, 2021.
Komen