10,413,270 dos vaksin diberikan di seluruh negara setakat hari ini, kata Ismail Sabri


Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berjaya meningkatkan kadar vaksinasi harian lebih 300,000 dos sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021.

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini berjaya meningkatkan kadar vaksinasi harian melebihi 300,000 dos sehari, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama dan kedua di seluruh negara setakat ini adalah 10,413,270 dos.

“Pada 8 Julai, jumlah vaksinasi yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 376,909 dos,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan menyeru individu yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin supaya tampil dan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my atau di talian hotline 1-800-88-8828.

Beliau berkata selain itu, pendaftaran secara manual juga diperkenalkan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Kerajaan terus komited dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar serta akan berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia, katanya. – Bernama, 9 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen