Bekas pengurus besar, pegawai Air Kelantan diberkas kes rasuah RM27 juta


Tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar Air Kelantan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek bernilai lebih RM27 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021.

SEORANG bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan seorang pegawai syarikat itu antara tiga lelaki yang ditahan bagi siasatan kes rasuah melibatkan projek bernilai RM27 juta.

Laporan Bernama menyebut, bekas pengurus berusia 60 tahun itu ditahan bersama pegawai berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat lain berusia 43 tahun.

Kesemuanya ditahan antara jam 4.25 petang dan 6.30 petang selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan dan agensi itu mendapat perintah reman tiga hari ke atas ketiga-tiga lelaki tersebut.

Laporan itu menyebut, ia melibatkan kes rasuah sebuah syarikat untuk mendapatkan projek dan kerja daripada AKSB, yang merupakan anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Siasatan ke atas kes projek yang berlalu antara 2015 dan 2019 itu dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, menurut laporan itu.

AKSB pada Mac lalu gagal mengemukakan saman seorang bekas exco kanan Kelantan Husam Musa mengenai satu projek yang juga bernilai RM27 juta melibatkan syarikat tersebut.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak saman AKSB berhubung dakwaan Husam bahawa syarikat yang menerima kontrak RM27 juta itu belum didaftarkan sewaktu projek dianugerahkan pada 2015.

Dakwaan Husam pada Mac 2018 itu menyebut projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11 (Pakej 1) bernilai RM27.1 juta.

Menurutnya, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 yang belum didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia waktu itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB Hanifa Ahmad dilaporkan menafikan perkara itu dan syarikat tersebut seterusnya pada Mei 2018 mengemukakan saman ke atas Husam.

Saman itu bagaimanapun ditolak dengan kos dan pengerusi Lujnah Undang-undang PAS Kelantan Nik Bahrum Nik Abdullah yang mewakili syarikat itu kemudian membuat aduan kepada SPRM. β€“ 9 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen