BN jadikan orang Sabah rasis untuk terus berkuasa, kata Warisan


Jason Santos

BN di Sabah menggunakan isu kaum dan agama menjadikan rakyat Sabah yang hidup aman damai sebelum ini menjadi rasis, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2018.

PERMAINAN politik perkauman Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke tahap ugutan yang kumpulan etnik tertentu akan terhapus jika pemimpin mereka tak terpilih, kata Warisan Sabah.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata beliau masih terbayang kejadian di mana seorang ahli parti komponen BN memberitahu rakyat di kawasan Penampang yang Kadazan Dusun Murut (KDM) akan terhapus jika pemimpin mereka tidak dipilih sekali lagi.

Ahli Parlimen Penampang itu mengatakan soal kaum dan agama menjadi lebih penting berbanding kelayakan dalam isu penjawatan sektor awam.

“Ibu bapa tak perlu berbelanja lebih untuk pendidikan anak mereka. Mereka hanya perlu gunakan agama, kaum dan hubungan untuk diambil bekerja.

“Lihat sahaja perkhidmatan awam di Sabah sekarang. Umno akan pastikan orang Islam yang menerajui pentadbiran.

“Parti KadazanDusun Murut, PBS, PBRS, Upko mereka juga tolong orang sendiri.

“Mereka tak pilih rakyat Sabah yang paling layak untuk kerja itu,” katanya pada majlis Bicara Bersama Pemimpin anjuran Warisan di Tuaran semalam.

Leiking berkata BN menggunakan “kaum dan agama” untuk membolehkan mereka terus berkuasa, sekalipun ia bermakna menjadikan penduduk Sabah yang pelbagai kaum menjadi rasis.

Satu lagi contoh adalah penggunaan kata-kata menghina “Parti Suluk” untuk mengurangkan sokongan penduduk kaum KadazanDusun Murut kepada Warisan.

Leiking menegaskan yang Warisan adalah parti pelbagai kaum, menolak dakwaan “Parti Suluk” dikeluarkan parti komponen BN, Upko.

“Salahkan dengan orang Suluk? Mereka juga orang Sabah dan kaum di Sabah.

“Saya banyak kali dengar pemimpin BN kata ‘perjuangan kaum kita belum berakhir, kerja kita belum selesai. Kita perlu bersatu dan sebagainya’…ini sesuatu yang tak masuk akal.

“Selagi mana kita terus bergantung kepada pemimpin ini, perjuangan mereka tak akan pernah selesai,” katanya. – 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen