MAJORITI ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak bersetuju dengan arahan Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), kata Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan perdana menteri itu memberitahu Berita Harian bahawa beliau antara ahli MKT yang membantah tindakan presiden Umno itu dalam mesyuarat baru-baru ini.
Naib presiden Umno itu berkata tindakan itu sia-sia dalam situasi pandemik Covid-19 yang sedang teruk melanda.
“Ahli MKT yang tidak menghadiri mesyuarat (Rabu) hanyalah Mahdzir Khalid yang tidak sihat.
“Dalam mesyuarat itu, mereka yang hadir mengatakan tidak setuju dengan keputusan menarik semula sokongan.
“Kita yakin kita perlu selesaikan masalah yang melibatkan rakyat terlebih dahulu kerana mereka dibebani oleh banyak perkara dan oleh itu, mereka harus menjadi keutamaan kami
“Kita memahami keadaan rakyat dan kita melakukan yang terbaik untuk mencari jalan menolong mereka, jadi mari kita ketepikan politik buat masa ini. Ini bukan masa untuk menarik sokongan,” katanya kepada Berita Harian hari ini, bercakap mengenai keputusan itu buat pertama kalinya secara terbuka.
Ismail berkata, MKT memutuskan ahli Parlimen Umno bebas mengundi di Parlimen mengikut budi bicara mereka.
“Selain itu, mesyuarat MKT juga memutuskan ahli Parlimen Umno bebas untuk menyokong Muhyiddin atau sebaliknya.
“Jadi tidak seharusnya ada masalah. MKT mengakui ahli Parlimen boleh memutuskan jika mereka mahu menyokong perdana menteri atau tidak,” katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.
Pada Rabu, presiden Umno mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa serta-merta.
Zahid berkata Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri berkuat kuasa serta merta kerana pentadbirannya telah gagal
Keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berlangsung lebih empat jam.
“Bagi memenuhi mandat sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat tadi, maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” katanya, dalam sidang media tempoh hari.
Umno mempunyai 38 kerusi di Dewan Rakyat, serta 4 kerusi yang dipegang oleh komponen Barisan Nasional (BN). MCA mempunyai 2 kerusi sementara MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.
Umno juga mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin yang dibentuk pada 1 Mac 2020 selepas percaturan politik pada hujung Februari sebelumnya, yang dikenali sebagai episod Langkah Sheraton.
Keputusan Zahid itu dibuat selepas Muhyiddin melantik naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan keselamatan.
Zahid juga merujuk mandat sebulat suara yang diberikan oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Mac 2021 kepada MKT Umno untuk menentukan tempoh yang sesuai menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.
Menurut Ahmad Zahid, perdana menteri baharu nanti hanya akan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain memastikan proses imunisasi dipercepatkan.
“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – 9 Julai, 2021.
Komen