Perikatan sengaja buat silap urus pandemik elak PRU, kata Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa PN sengaja membuat kesilapan dalam mengurus pandemik Covid-19 supaya tempoh darurat dilanjutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021.

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) seolah-olah sengaja membuat kesilapan dalam mengurus pandemik Covid-19 supaya tempoh darurat dilanjutkan, sekali gus menghalang pilihan raya umum diadakan, dakwa Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata atas sebab inilah mengapa Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Muhyiddin Yassin.

Umno katanya setuju untuk membentuk kerajaan sementara selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu dengan syarat pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.

Muhyiddin kerap kali berjanji akan mengadakan PRU sejak tahun lalu, termasuk kali terakhir pada Januari bahawa ia akan diadakan sebaik sahaja selepas tempoh darurat tamat, tambahnya.

“Tapi tak sangka kita bahawa pengendalian Covid kerajaan PN semakin teruk dengan pelbagai kesilapan yang diulang-ulang walaupun jelas ianya adalah kesilapan besar yang menghalang PRU (pilihan raya umum) - walaupun sudah diberi kuasa penuh darurat selama 7 bulan.

“Seolah-olah kesilapan-kesilapan ini disengajakan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, desakan supaya Muhyiddin meletak jawatan dan cadangan supaya kerajaan sementara mengambil alih pentadbiran selama tiga hingga enam bulan bagi membendung Covid-19 bukanlah kerana Umno tamak kuasa.

“Umno tidak gila kuasa melainkan mengembalikan kuasa kepada rakyat boleh dianggap sebagai gila kuasa. 

“Kita sanggup buat begitu demi menyelesaikan kedua masalah utama negara pada ketika ini,” katanya.

Umno semalam umum menarik balik sokongan kepada Muhyiddin berkuat kuasa serta merta.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berlangsung lebih empat jam pada Rabu malam memutuskan Muhyiddin perlu meletak jawatan “secara terhormat” bagi membuka ruang untuk seorang perdana menteri baharu dilantik bagi suatu tempoh yang terhad untuk menguruskan hal ehwal berkaitan Covid-19.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen Umno, termasuk yang berada dalam Kabinet Muhyiddin berkata akan terus menyokong perdana menteri dan kerajaan PN. – 9 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen