Korea Selatan perketat sekatan pergerakan di Seoul


Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Seoul, Korea Selatan. – Gambar EPA, 9 Julai, 2021.

KERAJAAN Korea Selatan akan memperketatkan sekatan pergerakan di Seoul selama dua minggu mulai Isnin depan, ketika negara itu mencatat angka harian tertinggi  jangkitan Covid-19, lapor AFP.

Korea Selatan sebelum ini dijadikan contoh dalam mengawal penularan pandemik. Meski penduduk negara itu mematuhi peraturan mencegah jangkitan, tetapi proses pemberian vaksin Covid-19 perlahan kerana kekurangan bekalan.

Sebanyak 1,316 kes baharu dilaporkan hari ini, angka tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu Disember tahun lalu. Kebanyakan jangkitan dikesan di Seoul, yang menempatkan hampir separuh populasi Korea Selatan.

Kluster baharu banyak dikesan di sekolah, pejabat dan pusat membeli-belah, kata pihak berkuasa. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti virus Covid-19 berusia 20-an dan 30-an.

Mulai Isnin depan, perhimpunan lebih dari dua orang dilarang selepas jam 6 petang dan sekolah akan ditutup, selama dua minggu.

Kafe dan restoran dibenarkan buka, dengan jumlah pelanggan yang terhad serta tidak boleh makan di dalam premis selepas pukul 10 malam. Pusat hiburan termasuk bar dan kelab pula diarah ditutup. – AFP, 9 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen