PUTRAJAYA perlu memberikan kit ujian Covid-19 secara percuma atau diberi subsidi kepada rakyat Malaysia bagi membantu mengesan dan mengurangkan penularan koronavirus, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Bekas menteri pendidikan itu berkata harga cadangan bagi kit ujian di rumah mestilah tidak lebih RM15, manakala kit ujian percuma boleh diberikan kepada golongan B40 dan kumpulan miskin tegar lain.
“Kit ujian di rumah yang terbukti berkesan menggunakan air liur kini boleh didapati dan ia boleh menjadi pilihan yang baik untuk diperkenal dengan harga mampu.
“Kerajaan perlu kawal harga dan membenarkan rakyat Malaysia menjalankan ujian di rumah. Dengan cara ini kes positif boleh dikuarantin dan kemudian dimasukkan ke hospital jika kes mereka serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Teo berkata ia merupakan tugas yang mencabar untuk menurunkan kes bawah 4,000 walaupun perintah kawalan pergerakan penuh dikuatkuasakan.
Semalam Malaysia merekodkan 135 kes kematian baharu Covid-9, yang merupakan kes kematian harian tertinggi direkodkan di negara ini dengan 8,868 kes positif.
Beliau berkata kaedah ujian saringan sedia ada perlu dikaji semula dan kaedah ujian kendiri perlu diperkenalkan untuk membantu menyelesaikan situasi ini.
“Aplikasi MySejahtera boleh digunakan untuk melaporkan kes positif. Penularan virus boleh dikurangan dengan signifikan.”
Teo berkata ketika ini petugas kesihatan menggunakan ujian RT-PCR, rapid antigen dan kit antibodi untuk ujian saringan.
“Ujian ini hanya boleh dijalankan oleh pengamal perubatan atau makmal. Kos ujian ini sangat tinggi antara RM70 hingga RM400.
“Ramai rakyat Malaysia terjejas dari segi ekonomi kerana pandemik, tidak semua mampu tanggung kos ujian.
“Pengamal perubatan profesional, makmal dan hospital mengaut keuntungan besar daripada ujian saringan sahaja.”
Tambahnya ujian saringan secara besar-besaran akan membantu mengenal pasti kes positif dan tindakan boleh diambil bagi mengurangkan penularan jangkitan.
“Ramai yang bergejala dan tidak bergejala kerana mereka tidak menjalani ujian saringan dan ini disebabkan kos.
“Mereka mungkin akan menjangkiti lebih ramai orang sebelum mereka disahkan positif Covid-19.”
Teo juga berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan bukanlah satu jawapan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi.
“Kerajaan perlu mengkaji pilihan ini dan gunakan kit ujian ini secepat mungkin.”
Pada 1 Julai, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.
Menurutnya pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat diputuskan berdasaran penilaian risiko yang mana kadar jangkitan masih tinggi.– 9 Julai, 2021.
Komen