Cadangan PM sementara Umno masih buntu, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Majlis Tertinggi Umno semalam mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan mencadangkan pemimpin sementara bagi menggantikannya sehingga pandemik Covid-19 terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021.

CADANGAN Umno untuk melantik perdana menteri sementara bagi menggantikan Muhyiddin Yassin tidak dapat diteruskan kerana tiada nama yang dikemukakan, kata penganalisis.

Walaupun keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri, dan pemimpin sementara akan menggantikannya sehingga pandemik Covid-19 terkawal, ia tetap merupakan cadangan semata-mata tanpa haluan yang jelas.

Hisomudin Bakar dari Ilham Centre berkata ianya akan lebih jelas sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan. Namun begitu, parti-parti dalam arena politik mungkin sukar untuk bersetuju dengan calon yang mendapat sokongan majoriti.

“Kini kita di jalan buntu. Siapa boleh gantikan Muhyiddin? Adakah Tengku Razaleigh mampu meraih sokongan dari Umno dan pembangkang? Adakah Anwar mampu meyakinkan Umno untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP?”

“Bagaimana dengan Pejuang, Warisan dan Muda? Adakah mereka bersetuju dengan siapa yang akan jadi PM sementara?

“Perikatan Nasional sudah hilang majoriti selepas Umno memutuskan untuk memutuskan untuk menghentikan kerjasama. Apa yang perlu dilakukan sekaranng adalah PM mesti meletak jawatan. Selagi beliau tidak letak jawatan, kita akan terus berada di jalan buntu,” kata Hisomuddin.

Penganalisis dari Universiti Malaya Prof Awang Azman Awang Pawi berkata perkara itu perlu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Agong boleh menamatkan ketidaktentuan sama seperti yang baginda lakukan selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (Februari tahun lalu).

“Agong boleh memanggil semua presiden parti dan juga tanya pada ahli Parlimen siapa yang mereka pilih untuk PM sementara. Dari situ konsensus boleh dicapai.

“Mengenai Muhyiddin, jika beliau masih mahu jadi PM, beliau peru buktikan beliau ada sokongan majoriti daripada ahli Parlimen, Jika tidak beliau peru letak jawatan. Ia perlu dibuktikan melalui Parlimen dan bukan dengan cara perakuran bersumpah. Beliau perlu tunjukkan di Parlimen,” kata Awang Azman.

Muhyiddin nampaknya akan bertahan, dengan keputusan Umno sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab pertanyaan wartawan untuk mengulas mengenai pengumuman Umno.

Bagaimanapun, Peguam Negara Idrus Harun mengeluarkan kenyataan bahawa ahli Parlimen Pagoh dan kabinetnya tetap berkuasa sehingga dan kecuali ahli Parlimen lain dapat membuktikan bahawa dia mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Gabungan Barisan Nasional yang diterajui Umno mempunyai ahli Parlimen paling ramai (42) dalam kerajaan Perikatan Nasional, iaitu 38 Umno, 2 MCA, 1 MIC dan 1 PBRS.

Sekiranya semua parti dalam BN mengikut jejak Umno dan menarik sokongan, Muhyiddin hanya mempunyai 73 ahli Parlimen yang menyokongnya.

Namun, Umno diketahui berpecah atas sokongannya terhadap presiden Bersatu. Mereka yang mahu menamatkan hubungan dengan Muhyiddin dan PN adalah termasuk presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, sementara mereka yang ingin meneruskan kerjasama termasuk menteri kabinet.

Dalam pentadbiran Muhyiddin, ahli parlimen Umno memegang sembilan jawatan menteri dan lapan timbalan menteri.

Pengarah program Iman Research Badrul Hisham Ismail berkata memandangkan keadaan parti-parti pembangkang yang tidak stabil, sukar bagi mereka untuk menyetujui siapa yang boleh menjadi perdana menteri sementara.

“Muhyiddin masih PM sehingga beliau letak jawatan. Bolehkah parti seperti Umno, PKR, DAP, PAS dan parti lain bersetuju mengenai siapa yang akan jadi PM sementara?

“Tiada siapa boleh gantikan Muhyiddin keraja tiada majoriti jelas.”

Sekiranya perlu ada calon perdana menteri sementara, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan kesediaannya dalam satu program wawancara dengan Sinar Harian baru-baru ini, sebelum keputusan Umno malam tadi.

Pensyarah kanann Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata Tengku Razleigh paling sesuai untuk jawatan itu, dan mungkin paling objektif kerana beliau bukan pro-PN atau pro-Pakatan Harapan.

“Sekiranya Anwar calon PM sementara, PAS pasti bantah. Sekiranya Dr Mahathir, PKR tidak akan setuju. Zahid ada banyak kes mahkamah. Yang mempunayi rekod paling bersih adalah Ku Li,” kata Mazlan. – 9 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen