NAJIB Razak mempertikaikan satu kenyataan tanpa nama yang tersebar kononnya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju dengan keputusan Umno menolak Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Katanya, beliau pun seorang ahli Parlimen BN dan bukan dalam kumpulan itu.
“Eh.. saya pun ahli Parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?” tulisnya di Facebook.
Najib mahu ahli Parlimen BN yang tidak bersetuju dengan keputusan Umno itu supaya tampil.
“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluarkan entah pihak mana ini?” tambahnya.
Najib mengulas satu kenyataan media tanpa nama yang kononnya dikeluarkan bagi pihak “ahli Parlimen Barisan Nasional”.
BN mempunyai 42 ahli Parlimen termasuk 38 wakil rakyat Umno.
“Saya yang tandatangan watikah pencalonan bagi setiap ahli Parlimen BN yang ada hari ini. Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli Parlimen BN.
“Sila beri senarai nama,” tambah Najib.
Media awal hari ini turut memetik kenyataan MIC dan MCA yang berkata akan terus menyokong Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon dipetik berkata keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin tidak mengubah pendirian MCA.
“Kecuali BN membuat keputusan baharu dan rasmi, MCA akan terus menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya berikutnya, sesuai dengan keputusan BN sebelum ini,” katanya, dipetik Free Malaysia Today.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan pula berkata pihaknya menghormati keputusan Umno tetapi mahu perkara itu dimuktamadkan di peringkat BN. – 8 Julai, 2021.
Komen