MEMPUNYAI perdana menteri sementara daripada Pejuang bukan keutamaan pada masa ini kerana parti itu mahu membantu negara melawan pandemik Covid-19, kata Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang pernah dua kali menjadi perdana menteri berkata dengan negara melaporkan jumlah kes harian yang tinggi dah melaporkan hampir 100 kematian setiap hari, beliau berkata keutamaan sekarang ialah mencari cara membendung jangkitan virus.
“Keutamaan kami pada masa ini ialah menangani pandemik ini. Itu yang penting untuk kami,” kata ahli Parlimen Langkawi itu pada sidang akhbar hari ini, menjawab soalan sama ada beliau akan menawarkan dirinya sebagai perdana menteri sementara.
Malam tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.
Zahid berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhi syarat ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 11 Mac, 2020 beberapa hari selepas Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, susulan pergolakan politik.
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata perdana menteri sementara yang baharu perlu dilantik hingga pandemik Covid-19 dapat dikawal dan komuniti kelompok berjaya dicapai menerusi imunisasi vaksin.
Umno mempunyai 38 kerusi di Dewan Rakyat, sementara empat dipegang parti komponen BN; MCA ada dua kerusi sementara MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.
Dr Mahathir juga menyelar ahli politik, berkata semua orang berminat menjadi perdana menteri atas kepentingan peribadi, bukannya berkhidmat kepada rakyat.
“Semua orang hendak jadi perdana menteri.
“Apa yang mereka peduli ialah berapa banyak wang akan dapat. Mereka tidak berminat untuk berkhidmat (kepada rakyat dan negara) dan mereka tidak minat menangani masalah yang dihadapi rakyat,” katanya, tanpa merujuk kepada mana-mana nama. – 8 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen