Tak adil Warisan suruh lepaskan kerusi kawasan pedalaman, kata DAP Sabah


Jason Santos

Stephen Wong berkata, Warisan tidak berlaku adil kerana mahukan kawasan pedalaman setelah sekian lama DAP berkerja keras menguatkan pengaruhnya di kawasan pedalaman di situ. – Gambar Facebook, 15 Januari, 2018.

KERJA keras DAP selama lima tahun untuk meningkatkan pengaruh di kawasan pedalaman Sabah dianggap sebagai membuang masa jika Warisan berkeras mahu bertanding di kawasan sama, kata pengerusi DAP Sabah.

Stephen Wong berkata, Warisan tidak berlaku adil kerana mahukan kawasan pedalaman setelah sekian lama DAP berkerja keras menguatkan pengaruhnya di kawasan pedalaman di situ.

“Kami dah buat projek ‘Impian Sabah’ sebaik sahaja tamat pilihan raya umum pada 2013. Lama sebelum Warisan ditubuhkan.

“Kami dah siapkan lebih 30 projek infrastruktur berskala kecil, seperti bengkel pendidikan dan kesihatan. Kami kah yang tamak dan kenapa kami yang patut dipersalahkan?” katanya.

Kenyataan Wong itu sebagai respon terhadap dakwaan presiden Warisan Shafie Apdal semalam bahawa terdapat beberapa masalah dalam rundingan kerusi antara partinya dengan Pakatan Harapan, terutamanya di kawasan pedalaman.

Persepakatan umum setakat ini antara pembangkang di Sabah adalah DAP akan memberi fokus pada kerusi di bahagian bandar.

Namun Wong berkata DAP berharap untuk bertanding di 12 kerusi Adun termasuk Bingkor, Melalap dan Sook, selain lima kawasan Parlimen termasuklah kerusi sekarang iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan, selain dua kerusi PKR di Keningau dan Tenom.

Sehingga sekarang, DAP telah menubuhkan pusat khidmat masyarakat di Keningau, Tenom, Sook dan Nabawan.

Di Bingkor DAP akan bertanding bersama parti pembangkang satu lagi iaitu Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) yang mana kerusi itu sekarang ini disandang oleh presiden Star iaitu Dr Jeffrey Kitingan. Star bukanlah parti pembangkang yang bergabung dengan PH.

Dalam masa sama, Warisan telah melebarkan pengaruhnya di Keningau dan Tenom, yang mana kemungkinan akan ditanding oleh berkas ketua pemuda PBS Jake Nointin di Keningau dan Peter Anthony di Tenom.

Bagaimanapun, Shafie belum memutuskan secara penuh calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Pun begitu, Warisan tetap akan meneruskan agenda mereka jika tidak menemui kata sepakat antara pembangkang berkaitan beberapa kerusi.

Justeru Wong berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi dengan Warisan berkaitan kerusi-kerusi itu namun Shafie ada menghubungi beliau untuk berjumpa.

“Shafie ada hubungi saya dalam dua minggu lalu untuk ajak berjumpa. Tapi dia akan berjumpa dengan saya kelak.

“Kami hanya minta 12 daripada 73 kerusi Adun… Banyak sangatkan yang saya minta?”

Oleh itu, Wong mencabar Warisan untuk menarik kembali semua rancangan untuk bertanding di semua kerusi parlimen agar dapat bersama merancang menubuhkan kerajaan negeri.

“Shafie Apdal kerap cakap PH hanya patut fokus pada parlimen… Adakah mereka akan beri kami semua 25 kerusi Parlimen Sabah?

“Dia juga ada beritahu untuk menumpukan perhatian pada kawasan bandar tapi setiap hari ahli Warisan ganggu kawasan kami dengan memberitahu media yang mereka juga akan bertanding di kawasan-kawasan ini,” kata Wong, menambah yang Warisan aktif di kawasan seperti Kapayan yang mana telah dimenangi DAP pada PRU13 lalu.

Kerusi yang dimenangi DAP melalui Dr Edwin Bosi itu bagaimanapun jatuh kepada Parti Anak Negeri yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung PBS Henrynus Amin. – 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen