Dr Mahathir ditawarkan vaksin buatan China untuk penduduk Langkawi


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata dengan vaksin, penduduk Langkawi akan dapat kembali menerima pelancong ke pulau itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata beliau ditawarkan untuk menerima vaksin Covid-19 daripada seorang penderma bagi mengimunisasi 75,000 individu di kawasannya, Langkawi.

Beliau enggan mendedahkan jenis vaksin tetapi memberi bayangan penggunaannya belum diluluskan di Malaysia dan menggesa kerajaan meluluskannya segera.

“Kami ditawarkan untuk memvaksin 75,000 penduduk di Langkawi dengan vaksin yang berkesan terhadap varian biasa dan Delta Covid-19.

“Jadi, kami berharap kerajaan tidak melengahkan kelulusan dan menyukarkan kami hanya kerana vaksin itu dari China,” kata bekas perdana menteri itu pada sidang akhbar secara maya hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata vaksin yang ditawarkan itu sudah pun diberikan kepada lebih 100 juta individu di China dan didapati berkesan dalam menentang varian Delta.

Katanya, vaksin itu belum diluluskan di Malaysia dan menunggu untuk ujian klinikal mengambil masa terlalu lama.

“Kelulusan itu penting untuk rakyat Langkawi kerana ini akan membolehkan mereka menerima pelancong ke pulau itu.

“Memandangkan saya ahli Parlimen Langkawi, sudah tentu saya mahu menjaga penduduk di kawasan saya.

“Namun, faedahnya nanti bukan saja untuk penduduk Langkawi. Jika berjaya di Langkawi, ia nanti boleh diluaskan ke seluruh negara.”

Pada masa ini, vaksin buatan China yang diluluskan untuk digunakan di Malaysia ialah Sinovac dan CanSino. Bagaimanapun CanSino masih belum diberikan di sini. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen