Dr Mahathir mahu Majlis Pemulihan Negara tangani Covid-19 dengan berkesan


Ravin Palanisamy

Pengerusi parti Pejuang Dr Mahathir Mohamad akan mengusulkan Majlis Pemulihan Negara pada persidangan Parlimen akhir bulan ini bagi mengekang krisis Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

PARTI Pejuang akan mengusulkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara pada persidangan Parlimen akhir bulan ini bagi mengekang krisis Covid-19, kata pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad.

Memetik rancangan pasca pandemik empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai gagal, ahli Parlimen Langkawi itu berkata bahawa majlis yang dicadangkan itu akan memastikan negara kembali stabil dan memulihkan kembali keadaan dihadapi rakyat.

“Sangat jelas PPN tidak berkesan dan gagal.

“Kita perlu memikirkan cara lain (bagi mengatasi krisis), jadi Pejuang mengusulkan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang dikhaskan khusus untuk memulihkan keadaan rakyat,” katanya.

Malaysia diletakkan di bawah sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun dengan harapan dapat membendung penularan virus Covid-19.

Namun sejak sekatan pergerakan penuh, jumlah kes harian tidak pernah turun di bawah angka 4,000 sementara jumlah kematian dalam tempoh tersebut melebihi 2,500 kes.

Hari ini jumlah kematian harian mencecah paras tertinggi iaitu 135 kes dengan kes harian berjumlah 8,868.

Pada 15 Jun, Muhyiddin melancarkan PPN yang menyasarkan negara akan dapat membuka kembali sektor ekonomi dan sosialnya secara bertahap.

Dr Mahathir berkata rakyat semakin tertekan kerana sekatan pergerakan jangka panjang yang tidak berkesan juga meningkatkan angka kes bunuh diri.

Beliau berkata, berdasarkan cadangan Pejuang, mereka mengenal pasti cara memerangi wabak dan mengurangkan jumlah jangkitan baharu di negara ini.

“Kami menyarankan untuk membentuk majlis ini kerana kita sudah mempunyai kerangka kerja bagi membendung wabak ini yang meliputi tindakan mengurangkan jumlah kes baharu.

“Sekiranya majlis ini dapat ditubuhkan, saya yakin dapat mengurangkan jumlah jangkitan baharu dan juga mengurangkan tekanan psikologi yang dirasakan oleh rakyat,” katanya.

Dr Mahathir menambah bahawa pada keadaan kritis ketika ini, Pejuang akan mengutamakan cara bagi memerangi wabak itu dari terlibat dalam pergolakan politik. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen