Kes pertama Covid-19 varian Delta dikesan di Sarawak


Desmond Davidson

Kes pertama membabitkan varian Delta Covid-19 yang sangat mudah berjangki dikesan di Sarawak dalam sampel daripada seorang lelaki pada 18 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

KES pertama membabitkan varian Delta Covid-19 yang sangat mudah berjangkit, juga dikenali sebagai B1617.2 dikesan di Sarawak, menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas hari ini.

Institut itu yang menjejak dan memantau virus SARS-COV-2 di  negeri itu berkata varian Delta dikesan dalam sampel yang diambil daripada seorang lelaki berusia 56 tahun di Kuching pada 18 Jun.

Ia berkata kes berkenaan dikategorikan sebagai “kes import B”, bermakna lelaki terbabit membawanya masuk ke Sarawak selepas tiba dari negeri lain dalam Malaysia.

Institut itu tidak mendedahkan dari negeri mana individu terbabit datang.

Varian Delta kali pertama dikesan di India pada Disember 2020.

Menurut laman web WebMD, varian itu dianggapkan 43% hingga 90% lebih mudah berjangkit berbanding varian Covid-19 sebelum ini, di mana pakar percaya ia lebih cepat berjangkit daripada varian Alpha.

Pengarah IHCM Dr David Perera berkata pakar di makmal IHCM di Samarahan juga mengesan varian Beta ( B.1.351) dan Theta (P.3).

Beliau berkata setakat ini 34 kes Beta dikesan di Kuching, tiga di Bau dan satu masing-masing di Lundu, Serian, Simunjan dan Sibu.

Bagi varian Theta, Dr Perera berkata enam kes dikesan di Kuching dan tujuh di Kota Samarahan. Setakat ini hanya ada satu kes varian Eta ( B.1.525).

Dr Perera berkata hingga 26 Jun, sebanyak 59 varian membimbangkan (VOC)dan varian diwaspadai (VOI) dikesan di negeri itu. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen