KEPUTUSAN Umno untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memberi kesan kepada kerajaan yang dibentuk berdasarkan kepada sokongan majoriti ahli Parlimen, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
“Dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang perdana menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful mengulas keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno lewat malam semalam, yang turut mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan digantikan dengan perdana menteri sementara hingga pandemik Covid-19 dapat dikawal.
Muhyiddin yang juga pengerusi Bersatu tidak memberi respons secara langsung terhadap tuntutan Umno. Peguam Negara Idrus Harun sebaliknya mengeluarkan kenyataan ahli Parlimen Pagoh itu kekal sebagai perdana menteri hingga ada wakil rakyat yang dapat membuktikan mendapat sokongan majoriti.
Wan Saiful juga menepis alasan Umno untuk menarik sokongannya, di mana antaranya ialah kegagalan Muhyiddin mengendalikan pandemik Covid-19, untuk melindungi ekonomi dan kebajikan rakyat, dan menyalahgunakan kuasa darurat untuk menghalang demokrasi berparlimen.
“Bersatu menolak semua tuduhan yang kerajaan gagal memenuhi aspirasi rakyat. Tuduhan beliau hanya ulang suara tohmahan yang sering disebut pembangkang, terutama PKR dan DAP.
“Kerajaan memberi pelbagai bentuk bantuan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara,” kata Wan Saiful. – 8 Julai, 2021.
Komen