PH mahu Muhyiddin letak jawatan, desak majlis presiden


Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan parti politik terbesar dalam gabungan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) mahu Muhyiddin Yassin letak jawatan perdana menteri kerana sudah hilang sokongan daripada Umno untuk terus menerajui kerajaan.

Majlis Presiden PH berkata perdana menteri yang hilang sokongan parti politik terbesar dalam gabungan kerajaannya bermakna hilang juga sokongan daripada ahli Parlimen parti itu.

“Apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka perdana menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan seterusnya hilang sokongan majoriti ahli Parlimen,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Majlis Presiden PH juga menyifatkan kenyataan Peguam Negara Idrus Harun membela kedudukan Muhyiddin tidak mencerminkan tindakan mempertahankan undang-undang.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN daripada mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Oleh itu, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai Perdana Menteri,” tambah mereka.

Kenyataan bersama dikeluarkan atas nama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

Awal hari ini Idrus berkata Muhyiddin masih kekal sebagai perdana menteri kerana tiada fakta jelas perdana menteri sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Katanya, penarikan sokongan itu adalah kenyataan sebuah parti politik dan bukannya ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan sebarang pilihan raya kerana penularan Covid-19 masih tinggi sementara kemudahan kesihatan awam semakin tertekan.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran sistem rawatan kesihatan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Labuan boleh lumpuh jika tiada pengurangan kes harian baharu.

Hari ini Kementerian Kesihatan mengumumkan 8,868 kes baharu jangkitan Covid-19, menghampiri rekod kes tertinggi sebanyak 9,020 pada 29 Mei lepas.

Hampir 60 peratus kes baharu hari ini direkodkan di Selangor dan Kuala Lumpur yang sebahagian besar daerahnya diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berkata parti mereka akan terus memberi fokus kepada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik.

“Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis COVID-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan,” kata mereka. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen