MALAYSIA hari ini mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi apabila sebanyak 135 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan.
Angka kematian harian tertinggi sebelum ini adalah sebanyak 126 pada 2 Jun.
Pada masa sama, jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kekal tinggi seramai 952 orang dengan 445 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia juga mencatatkan 8,868 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikannya ia angka kedua tertinggi dalam kes harian yang dicatatkan sejak wabak bermula awal tahun lalu.
Jumlah kes harian Covid-19 tertinggi sebelum ini dicatat pada 29 Mei tahun ini.
Angka terbaru menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 5,903 kes.
Kematian hari ini melibatkan 63 kes di Selangor, Kuala Lumpur (24), Johor (sembilan), lapan kes di Negeri Sembilan dan Melaka, empat kes di Sarawak dan Kelantan, tiga kes masing-masing di Sabah, Pahang dan Perak, masing-masing dua kes di Pulau Pinang dan Putrajaya serta masing-masing sat ukes di Terengganu dan Labuan.
Dari jumlah kematian hari ini, 30 daripada tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.
Pesakit tertua adalah lelaki berusia 90 tahun dari Kuala Lumpur yang menderita penyakit diabetes dan masalah jantung.
Pesakit termuda adalah lelaki berusia 29 tahun dari Pulau Pinang yang tidak mempunyai sejarah penyakit. Sebanyak 20 kematian adalah kes meninggal dunia di luar hospital.
Kes baru hari ini juga melebihi 5,802 kes pulih, menjadikan kes aktif sebanyak77,275 berbanding 74, 344 semalam.
Jumlah kes Covid-19 negara sejak bermulanya wabak adalah 808,658. – 8 Julai, 2021.
Komen