UMNO membuat langkah tepat dengan menarik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memberi laluan kepada pentadbiran sementara bagi menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi semasa, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata, rakyat akan terus menderita jika Umno tidak mengambil keputusan seperti itu bagi menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
“Jadi, saya berpendapat bahawa keputusan MKT UMNO untuk tarik balik sokongan dari Muhyiddin (bukan tarik sokongan dari kerajaan PN) untuk memberi laluan kepada pentadbiran sementara dengan tempoh dan matlamat tetap untuk menyelesaikan Covid, bantuan Rakyat dan untuk mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi sebelum membubarkan parlimen untuk kembalikan mandat kepada Rakyat adalah keputusan tepat.
“Ia bukan sahaja langkah paling tepat malah merupakan satu-satunya sahaja pilihan untuk kebaikan Rakyat dan negara bagi jangka masa pendek dan panjang,” kata ahli Parlimen Pekan menerusi Facebook hari ini.
Malam tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin yang berkuat kuasa serta-merta.
Zahid menggariskan kegagalan kerajaan Muhyiddin berdasarkan tujuh kegagalan pentadbiran Muhyiddin yang diukur berdasarkan syarat yang Umno tetapkan semasa mendukung pembentukan kerajaan baharu menggantikan Pakatan Harapan pada Mac 2020.
Syarat Umno itu berasaskan kepada dua perkara iaitu, pertama, sebuah kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat dan kedua, kerajaan yang menangani kelembapan ekonomi serta melakar pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19.
Beliau juga merujuk mandat sebulat suara yang diberikan oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Mac 2021 kepada MKT Umno untuk menentukan tempoh yang sesuai menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.
Najib berkata langkah itu juga bagi memenuhi hasrat titah Raja-Raja Pemerintah bulan lepas bahawa perlunya ada sebuah kerajaan stabil yang mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat.
“Sebab cara menyelesaikan masalah ini BUKAN dengan gantikan sebuah kerajaan digelar pintu belakang yang tak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak dengan sebuah lagi kerajaan digelar pintu belakang yang tak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak.
“Sebab itu, kerajaan interim ini perlu ada tempoh hadnya dengan matlamat jelas. Tidak boleh melebihi tempoh 3-6 bulan sebab ianya juga sebuah kerajaan pintu belakang dengan majoriti tipis yang bukan pilihan Rakyat,” katanya.
Dengan masa kurang dari dua tahun untuk PRU15 sebelum Parlimen dibubarkan, Najib berkata Umno dan BN tidak takut menghadapi rakyat apabila tiba masanya.
Katanya, PN dan Pakatan Harapan juga tidak perlu takut berdepan rakyat sekiranya mereka mempunyai keyakinan untuk meraih sokongan.
“Sekiranya PN dan PH percaya mereka mempunyai sokongan padu dari Rakyat dan prestasi memerintah telah terbukti baik maka mereka juga tidak perlu takut untuk menghadapi Rakyat apabila tiba masanya,” katanya. – 8 Julai, 2021.
Komen