Kami tetap bersama Muhyiddin, kata GPS


Desmond Davidson

GPS akan tetap bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana kerajaannya boleh stabilkan negara, kata para pemimpin dalam gabungan kerajaan negeri Sarawak itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan tetap bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana kerajaannya boleh “stabilkan negara”, kata para pemimpin dalam gabungan kerajaan negeri Sarawak itu.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Stephen Rundi berkata, GPS akan terus mengotakan janjinya yang dibuat ketika mereka memilih untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin pada Februari tahun lalu.

“Apa sahaja yang terjadi, kita perlu pastikan Malaysia stabil. Malaysia perlu terus jadi salah satu kerajaan paling stabil di Asia Tenggara,” kata menteri utiliti negeri itu kepada wartawan di Petrajaya hari ini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sementara itu, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi turut bersetuju, berkata sekarang bukan masanya politik bergolak ketika negara sedang melawan pandemik Covid-19 dan menangani ekonomi yang teruk selain hilang mata pencarian.

“Tiba masanya untuk kerajaan yang stabil, menumpukan perhatian pada hal-hal penting, iaitu memerangi pandemik Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Linggi, yang memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia dalam kabinet Muhyiddin berkata, langkah Muhyiddin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin Hussein menjadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) perlu dilihat sebagai langkah meningkatkan kestabilan kerajaan.

“Bagaimanapun, ini telah menimbulkan pergolakan dalam Umno,” kata Linggi, menambah perkara ini sangat tidak wajar buat Malaysia.

Ismail Sabri dan Hishammuddin merupakan ahli Umno yang tergolong dalam puak yang menyokong kerjasama berterusan dengan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.

Kenaikan pangkat mereka diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam, beberapa jam sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno. 

Ia dilihat sebagai cara bagi Muhyiddin untuk mengekang presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, MKT Umno menegaskan Muhyiddin perlu segera berundur dan melantik perdana menteri sementara sehingga pandemik tersebut dapat dikawal, imuniti kelompok dicapai, sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-15. 

Linggi juga menyoal apakah jaminan apa yang akan dibawa oleh perubahan sementara kerajaan bagi memastikan pandemik terkawal, memandangkan parti-parti utama di Parlimen semuanya kini memiliki majoriti tipis.

“Perubahan kerajaan tidak menghasilkan kestabilan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pakatan Rakyat Sarawak (PRS) James Masing mempertikaikan langkah Umno itu.

Umno memetik tujuh perkara berkisar pada kegagalan Muhyiddin membendung penyebaran Covid-19, antaranya gagal mengurus ekonomi dan kesejahteraan rakyat ketika pandemik, menegakkan demokrasi berparlimen dan menuruti titah Yang di-Pertuan Agong agar diadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, menyamakan penarikan sokongan Umno terhadap Muhyiddin sebagai menembak rakan seperjuangan dalam perang.

Umno dan Bersatu adalah sekutu dalam kerajaan, walaupun hubungan antara kedua-dua parti itu sejak awal tahun lalu tegang.

Empat parti berpusat di Sarawak yang membentuk GPS adalah PBB sebagai parti utama; PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen