AHLI Parlimen Umno dibenarkan memilih mengikut budi bicara mereka dalam undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Ahmad Zahid Hamidi.
“Keputusan yang pertama kita memberi kuasa kepada ahli-ahli Parlimen Umno bahawa apabila persidangan Parlimen dijalankan dan ketika ada agenda pengundian sama ada undian percaya atau tidak percaya kita serahkan kepada budi bicara ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan di Parlimen sebagaimana yang dihasratkan ketika saya menghadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong).
“Untuk itu parti membuat keputusan bahawa parti menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ini adalah keputusan parti namun keputusan untuk ahli-ahli Parlimen adalah seperti yang saya sebut,” kata presiden Umno itu dalam video berdurasi 1 minit dan 22 saat.
Zahid berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada Agong.
Video itu didakwa sebagai rakaman skrin mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam talian yang berlangsung pada malam semalam.
Dalam video berkenaan, Zahid berkata MKT juga memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menangguhkan pemilihan parti untuk semua peringkat selama 18 bulan.
Dalam klip audio lain yang berdurasi empat minit dan 31 saat, Zahid memberitahu ahli MKT mengenai perjumpaannya baru-baru ini.
“Kecuali Zahidi Zainal Abidin (ahli Parlimen Padang Besar), saya sudah berjumpa dengan semua ahli MKT secara peribadi.
“Saya tidak berjumpa dengan Zahidi kerana saya menganggap dia tidak setuju (dengan keputusan menarik sokongan terhadap Muhyiddin) berdasarkan kenyataannya kepada media,” kata Zahid.
Tambahnya, beliau juga sudah berjumpa dengan ahli MKT Khaidhirah Abu Zahar dan Tajuddin Rahman.
“Khaidhirah diminta untuk dikecualikan kerana dia tidak menyokong dan Tajuddin meminta KIV atau ditangguhkan dan saya menganggapnya sebagai tidak menyokong,” katanya.
Zahid berkata dua ahli MKT yang lain bersetuju dengan apa yang diputuskan dalam perhimpunan agung pada Mac dan mesyuarat MKT pada Rabu tetapi mempersoalkan waktu penarikan sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
“Oleh itu daripada 56 ahli MKT, 35 sudah memberikan sokongan tanpa syarat sementara 15 yang lain memberikan sokongan bersyarat,” katanya.
Berdasarkan itu Zahid berkata, Umno memutuskan untuk membiarkan ahli Parlimen memilih mengikut budi bicara mereka dan memutuskan sendiri sekiranya mereka ingin menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Tambahnya, seramai 52 daripada 56 ahli MKT bersetuju menangguhkan pemilihan parti. – 8 Julai, 2021.
Komen