8,868 kes baharu Covid-19, lebih separuh di Lembah Klang


Seorang pekerja kesihatan berehat sebentar ketika menunggu untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Kuala Lumpur. Kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini mencecah 8,868. – Gambar EPA, 8 Julai, 2021.

KES jangkitan baharu Covid-19 hari ini mencecah 8,868 ketika pihak berkuasa kesihatan menggiatkan saringan ke atas penduduk di Lembah Klang yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), umum Kementerian Kesihatan.

Ini adalah kes harian tertinggi, menghampiri rekod 9,020 yang diumum oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham pada 29 Mei lepas.

Selangor saja setakat tengah hari ini merekodkan 4,152 kes sementara Kuala Lumpur 1,133 kes, menjadikan kes terkumpul di Lembah Klang hampir 60% daripada keseluruhan kes di seluruh negara hari ini.

Kes hari ini adalah yang tertinggi direkodkan di Selangor dengan pertama kali melepasi paras 4,000. Kes harian tertinggi di Selangor sebelum ini ialah 3,285 pada 30 Januari lalu.

Sebahagian besar daerah di Selangor serta 19 lokaliti Kuala Lumpur kini diletakkan di bawah PKPD yang berkuat kuasa secara berperingkat sehingga 16 Julai.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan kes tertinggi ketiga selepas Selangor dan Kuala Lumpur dengan 897 kes, diikuti Perak (543), Kedah (360) dan Johor (336).

Tiga negeri merekodkan tidak sampai 300 kes iaitu Sarawak (281), Sabah (279) dan Pulau Pinang (237).

Tiga negeri juga merekodkan tidak sampai 200 kes iaitu Melaka (183), Pahang (152) dan Kelantan (135).

Dua negeri mencatatkan kes kurang daripada 100 iaitu Terengganu (68) dan Perlis (1) bersama dua wilayah persekutuan iaitu Labuan (64) dan Putrajaya (47).

Semalam, Dr Noor Hisham memberi amaran sistem rawatan kesihatan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Labuan boleh lumpuh jika tiada pengurangan kes harian baharu. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen