SEMUA pihak harus memberi tumpuan kepada pengurusan pandemik Covid-19, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika suhu politik kembali hangat selepas Umno awal hari ini mengumumkan menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, Tuan Ibrahim berkata PAS konsisten menyeru pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama negara untuk menguruskan pandemik Covid-19.
“Penumpuan yang sepenuhnya mesti diberikan bagi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup rakyat. Bahkan wajib tolong-menolong tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim juga menyeru semua rakyat bersama-sama mendukung Pelan Pemulihan Negara yang sedang kerajaan laksanakan, untuk keluar daripada pandemik Covid-19.
“Semoga Allah SWT memberi tautan hati dan tindakan buat seluruh pemimpin, parti politik, NGO dan seluruh rakyat Malaysia seterusnya mengangkat wabak Covid-19 dari negara kita,” katanya.
Kenyataan beliau tidak menyebut perkembangan terkini politik susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.
Kenyataan itu sebaliknya hanya merujuk pelantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri yang memegang portfolio pertahanan dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang diangkat sebagai menteri kanan luar negeri.
Tuan Ibrahim berharap pelantikan mereka dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ismail Sabri dan Hishammuddin dilantik ke jawatan lebih kanan beberapa jam sebelum MKT Umno bermesyuarat membincangkan kedudukan parti dalam kerajaan PN.
Selepas lebih empat jam mesyuarat, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian Umno tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana kerajaannya didakwa gagal.
Penarikan balik sokongan itu berkuat kuasa serta merta, katanya.
Zahid juga mengumumkan desakan Umno mahu Muhyiddin meletak jawatan perdana menteri segera dan tempatnya diganti seorang perdana menteri sementara.
Fokus perdana menteri sementara itu terhad untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta memastikan rakyat disuntik vaksin dengan segera.
“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya, dalam pengumuman yang dibuat kira-kira 1 pagi tadi. – 8 Julai, 2021.
Komen