KEPUTUSAN yang diambil oleh Umno sentiasa berdasarkan kepentingan rakyat dan negara, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata Umno sentiasa menjadi parti bagi majoriti dan rakyat jelata, oleh itu pendirian mereka berpaksikan rakyat, bukannya kuasa dan kedudukan.
“Pendirian Umno mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.
“Fitrah Umno adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah Umno harus bersuara dan berjuang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebooknya hari ini.
Kenyataan Tok Mat itu dibuat selepas Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa dengan serta-merta.
Awal pagi tadi, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin telah gagal.
Tok Mat, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata tidak ada individu yang lebih besar dan lebih penting daripada parti itu.
Beliau tegaskan sebagai parti, Umno mempunyai pendirian dan tidak akan tergelincir dari keutamaannya.
“Yakinlah, pendirian kepimpinan Umno tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti.
“Ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung.
“Tiada individu lebih besar dari Umno. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas,” katanya.
Keputusan untuk menarik sokongan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Muhyiddin mengumumkan kenaikan pangkat dua pemimpin kanan Umno dalam Kabinet.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri sementara Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dijadikan menteri kanan yang bertanggungjawab dalam kluster keselamatan, portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Ismail Sabri.
Kedua-dua pemimpin itu bukan dari puak Zahid dalam Umno. – 8 Julai, 2021.
Komen