Ismail Sabri boleh jadi PM sementara, kata Shahrir Samad


Ismail Sabri sudah menjadi timbalan perdana menteri, dan jika Muhyiddin berundur, sudah ada timbalan yang dipercayai untuk oegang jawatan perdana menteri, kata Shahrir Samad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob, yang semalam diumumkan sebagai timbalan perdana menteri (TPM), boleh menerajui kerajaan sebagai perdana menteri (PM) sementara, kata ketua Umno Bahagian Johor Bahru Shahrir Samad.

Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno, seterusnya boleh mendapatkan restu parti untuk jadi perdana menteri dan jawatan itu akan kembali kepada Umno, tambahnya.

“Ismail Sabri sudah pun dilantik sebagai TPM. Kalau Muhyiddin Yassin turun pun, sudah ada timbalan yang boleh mengambil alih.

“Sebelum ini, ada menteri-menteri kanan. Mereka akan bergaduh sesama mereka kerana tidak tahu siapa yang sebenarnya yang dipercayai oleh PM untuk membantunya.

“Sekarang sudah jelas. Ismail Sabri boleh jadi PM sementara, kerajaan tidak goyang,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Selepas mendapat restu parti untuk “jadi PM sebetulnya”, Shahrir berpendapat, Ismail Sabri harus mendapatkan mandat sebenar di Dewan Rakyat, seperti yang pernah dibuat oleh dua perdana menteri sebelum ini.

“Kalau Ismail jadi PM sebetulnya, jangan lupa dapatkanlah sokongan Dewan Rakyat sepertimana Allahyarham Tun Hussein Onn lakukan pada 27 Januari 1976 (12 hari selepas dilantik PM) dan juga seperti Tun Abdullah Ahmad pada 3 Disember 2003 (3 hari selepas perlantikan),” katanya.

Shahrir membuat kenyataan itu selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini mengumumkan pendirian parti menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerana kerajaannya didakwa gagal.

Penarikan balik sokongan itu berkuat kuasa serta merta, kata Ahmad Zahid, selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat lebih empat jam malam tadi.

Ahmad Zahid juga mengumumkan desakan Umno mahu Muhyiddin letak jawatan perdana menteri segera dan tempatnya diganti seorang perdana menteri sementara sehingga satu pilihan raya diadakan selepas keadaan pandemik Covid-19 terkawal.

Sementara itu, Shahrir yang juga bekas menteri persekutuan turut menyelar Muhyiddin yang disifatkannya tiada rasa malu kekal sebagai perdana menteri walaupun tiada majoriti sokongan.

Keadaan itu katanya mengingatkan beliau kepada sikap Muhyiddin selepas mendesak bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Beliau merujuk kenyataan Muhyiddin yang dibuat di Singapura mencadangkan Abdullah letak jawatan segera lebih awal daripada tempoh peralihan kuasa setahun yang sudah ditetapkan. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen