Peguam Negara, menteri jumpa Muhyiddin


Noel Achariam

Kenderaan jenis MPV dinaiki Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri dilihat keluar dari kediaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Julai, 2021.

PEGUAM Negara Idrus Harun dan beberapa orang menteri dilaporkan bertemu Muhyiddin Yassin di kediaman perdana menteri itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.

Difahamkan, antara menteri yang dilihat hadir termasuk Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik menjadi timbalan perdana menteri, serta menteri hal ehwal undang-undang Takiyuddin Hassan.

Terdahulu kenderaan Idrus Harun dilihat tiba di kediaman Muhyiddin pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Beberapa menteri lain juga hadir, dengan seorang menteri dilihat keluar dari rumah perdana menteri sekitar pukul 11.16 pagi selepas tiba beberapa jam sebelum itu.

Pejumpaan itu berlangsung selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tindakan itu kerana kerajaan gagal mengekang pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain gagal mendukung demokrasi dengan mengadakan sidang Parlimen.

Mesyuarat MKT Umno selama empat jam semalam didakwa berlangsung hangat dengan pendirian berbeza ke atas Muhyiddin dan tindakan kerajaan menangani pandemik.

Mesyuarat itu berlangsung selepas Muhyiddin mengumumkan pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan keselamatan.

Umno menguasai 38 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Sembilan ahli Parlimen parti itu dilantik menjadi menteri manakala lapan timbalan menteri.

Zahid ketika mengumumkan keputusan Umno malam tadi menuntut agar perdana menteri baharu dilantik untuk menggantikan Muhyiddin.

Katanya, ia sebagai langkah sementara sehingga negara berjaya tangani pandemik dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-15. – 8 Julai, 2021.
 

Pejumpaan itu berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin kerana gagal mengekang pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain untuk mendukung demokrasi dengan mengadakan sidang Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen