30 petugas barisan hadapan di Kedah dijangkiti varian membimbangkan, kata exco negeri


Hospital tetap dibuka dan hanya wad tertentu sahaja ditutup untuk kerja-kerja sanitasi, kata exco kesihatan Kedah Dr Mohd Noor Hayati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

SERAMAI 30 kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah, telah dijangkiti varian Delta dan Beta Covid-19, lapor Harian Metro.

Portal itu memetik exco kesihatan Kedah Dr Mohd Noor Hayati Othman berkata, petugas barisan hadapan yang didapati positif itu termasuk doktor, jururawat dan tukang cuci hospital.

Hospital tetap dibuka dan hanya wad tertentu sahaja ditutup untuk kerja-kerja pembasmian kuman, katanya.

Perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa, namun janji temu pesakit akan dijadual semula, tambahnya.

“Mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh janji temu dan jadual akan disusun semula,” kata Hayati.

Varian Delta dari India dan Beta dari Afrika Selatan antara 584 jangkitan di Malaysia melibatkan varian membimbangkan (VOC).

Pada 5 Julai, ketika mengumumkan jumlah kes VOC, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata strain ini penularan strain ini berlaku lebih pantas menerusi bawaan udara.

Sementara itu, semalam Bernama melaporkan kerajaan Kedah menafikan mesej tular yang menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani berikutan penularan kes Covid-19 di hospital berkenaan.

Hayati berkata, walaupun ada petugas hospital berkenaan terdiri daripada doktor dan jururawat yang dikesan positif wabak itu, namun hospital itu tidak ditutup.

“Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu sahaja yang ditutup bagi proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup juga adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar semalam.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai mesej yang tular di media sosial mendakwa HSAH ditutup dan akan dikenakan PKPD selepas 100 petugasnya dijangkiti Covid-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen