TENGKU Razaleigh Hamzah sedia jadi perdana menteri sementara jika negara sekali lagi berdepan dengan krisis politik seperti yang berlaku selepas kerajaan Pakatan Harapan jatuh, lapor Sinar Harian.
Ahli Parlimen Gua Musang berkata sesiapa sahaja akan memikul tanggungjawab itu, jika perlu, demi kepentingan rakyat.
“Kalau dengar kepada banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya, seperti dipetik akhbar itu.
Tengku Razaleigh diwawancara oleh tokoh wartawan negara Johan Jaaffar dalam program Bersama Ku Li anjuran Sinar Harian.
Wawancara itu dibuat sebelum Majlis Kerja Tertinggi Umno bermesyuarat malam tadi dan memutuskan parti menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan keputusan mesyuarat lebih empat jam itu berkata Umno mendesak Muhyiddin letak jawatan segera dan seorang perdana menteri sementara dilantik khusus untuk menangani krisis pandemik Covid-19.
Menurut Ahmad Zahid, perdana menteri baharu nanti hanya akan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain memastikan proses imunisasi dipercepatkan.
“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya, dalam pengumuman yang dibuat lebih kurang pukul 1 pagi tadi.
Jawatan perdana menteri sementara tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, perdana menteri sementara pernah dilantik selepas Bersatu menarik diri keluar dari gabungan Pakatan Harapan dan selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri pada 24 Februari 2020.
Yang di-Pertuan Agong pada masa itu menerima perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tetapi melantik beliau semula untuk sementara, sehingga ahli-ahli Dewan Rakyat memilih seorang perdana menteri baharu.
Selepas lima hari mereka berunding dan mencatur, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamakan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020, dengan sokongan ahli parlimen dari Bersatu, PAS, serta Umno dan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mendapat juga dukungan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak. – 8 Julai, 2021.
Komen